Sorok lebih 10kg dadah dalam bungkusan produk kelapa

Mohd Zaidi (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu dalam bungkusan produk gula kelapa yang berjaya dirampas polis dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kota Kinabalu.
Mohd Zaidi (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu dalam bungkusan produk gula kelapa yang berjaya dirampas polis dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Tindakan licik pengedar dadah menggunakan pek bungkusan produk berasaskan kelapa gagal mengaburi mata pihak polis apabila lebih 9 kilogram (kg) syabu dan 1kg ketamin berjaya dirampas dalam dua serbuan berasingan di sekitar daerah ini.

Dalam serbuan pada Rabu dan Khamis itu turut menahan tiga lelaki berusia antara 37 hingga 52 tahun dipercayai sebagai dalang sindiket pengedaran dadah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, tangkapan pertama dilakukan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kira-kira jam 2.45 petang di Jalan Ranggung Batek, Likas.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap seorang lelaki berusia 37 tahun berjaya menemui kotak berisi tujuh bungkusan disyaki syabu seberat 7.174kg.

"Siasatan lanjut membawa kepada tangkapan rakan sejenayahnya iaitu seorang lelaki tempatan di sebuah dewan di Luyang.

"Hasil siasatan kedua-dua suspek membawa satu lagi tangkapan susulan iaitu seorang lelaki berusia 50 tahun di hadapan sebuah pusat beli belah di Alam Mesra kira-kira jam 2 petang semalam.

"Hasil pemeriksaan di kediamannya di Kampung Bantayan, Inanam pula membawa kepada penemuan sebanyak 1.22kg syabu dan 1kg ketamin," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada Jumaat.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak 9.218kg syabu dan 1kg ketamin dengan nilai RM386,848 mengikut harga pasaran semasa.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan mendapati, modus operandi sindiket ini ialah suspek membuat pesanan dadah dari Semenanjung dengan menggunakan syarikat perkhidmatan penghantaran kurier melalui alamat palsu.

"Dadah itu diperoleh pada hari yang sama ketika suspek ditangkap dan kali ini mereka menukar modus operasi dengan menggunakan bungkusan produk berasaskan kelapa untuk mengaburi mata pihak polis.

"Dadah yang dirampas dipercayai untuk kegunaan sendiri dan dijual kepada penagih sekitar Kota Kinabalu serta mungkin juga daerah berhampiran di mana jumlah dadah itu mampu menampung sehingga 51,000 penagih dalam satu masa," katanya.

Katanya, dua suspek dalam tangkapan pertama mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah.

"Kedua-dua suspek masing-masing mempunyai enam dan tujuh rekod berkaitan kes dadah iaitu telah dituduh, ada yang sudah dijatuhkan hukuman dan ada yang dalam proses perbicaraan.

"Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sebelum itu, Mohd Zaidi mengingatkan kepada pengedar dadah bahawa modus operandi mereka termasuk menggunakan syarikat penghantaran kurier sudah diketahui pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Mungkin mereka selamat untuk kali pertama, kedua dan ketiga tetapi tidak akan selamat selamanya kerana kita mempunyai rangkaian dan jaringan risikan untuk mengesan aktiviti penghantaran atau pengedaran melalui modus operandi ini.

"Begitu juga pek bungkusan jika sebelum ini mereka menggunakan plastik bungkusan minuman herba atau kesihatan, namun kita sentiasa berjaya mengesan dan mereka menukar pula dengan produk lain seperti santan dan sebagainya," katanya.