Maqasid Shariah asas budaya kerja TH

No Image Caption
A
A
A

Bagi mengukuhkan struktur tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH), satu Rangka Kerja Pengawasan (RKP) diperkenalkan untuk dijadikan sebagai budaya kerja baharu warga TH agar lebih maju pada masa hadapan.

Pengurus Besar Syariah TH, Imran Mohammad Khayat berkata, rangka kerja itu akan membolehkan pendeposit dan pihak berkepentingan lebih yakin terhadap asas mandate dan tadbir urus TH.

Menurutnya, sebagai institusi yang menguruskan simpanan deposit umat Islam Malaysia bagi mengerjakan haji, TH bertanggungjawab untuk sentiasa menambah baik cara menunaikan amanah ini dengan lebih berkesan dan lestari untuk jangka masa panjang.

“RKP ini bukanlah sekadar satu dokumen tetapi ia mencerminkan bagaimana kita menterjemah dan membudayakannya dalam kalangan warga TH hari ini, malah untuk pemimpin dan warga kerja TH yang akan datang,” katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Bernama.

Menurut beliau, rangka kerja itu diperkenalkan agar TH mempunyai asas dan rangka kerja keseluruhan untuk kakitangannya dalam memastikan institusi itu komited melaksanakan mandat pengurusan haji bertaraf dunia.

Imran Mohammad Khayat
Imran Mohammad Khayat

Artikel Berkaitan:

“Apabila melihat semula semua prosedur dan polisi TH sedia ada, kita dapati perlunya ada satu ‘overarching’ dokumen yang menjadi kerangka secara keseluruhan untuk move forward mindset (memacu minda ke hadapan) agar warga TH dapat menjalankan amanah yang diberikan oleh para pendeposit,” katanya.

Ujarnya, sebagai sebuah institusi Islam yangdisegani di mata dunia, semua warga TH sama ada peringkat tertinggi mahupun rendah, perlu memainkan peranan dan bertanggungjawab dalam memastikan apa juga peraturan seperti kod etika, cara kerja termasuk RKP diperkukuhkan.

Menurutnya, TH juga memastikan anggota lembaga, panel pelaburan, pengurusan kanan dan warga kerja sentiasa mendokong empat teras utama iaitu nilai dan prinsip Islam, kepimpinan beretika, kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang berkesan serta akauntabiliti kepada pihak berkepentingan.

No Image Caption

“Menerusi RKP yang diperkenalkan ini, menjadi satu keperluan bagi TH untuk mengukuhkan lagi struktur pentadbiran yang kini sudah hamper enam dekad dalam operasi patuh syariah,” ujarnya.

Sementara itu katanya, TH turut memperkenalkan program kesedaran dalaman berkaitan RKP secara progresif bagi membantu kakitangan agensi tersebut menghayati rangka kerja dan peranannya dalam mengukuhkan tadbir urus korporat TH pada masa hadapan.

RKP merupakan rangka kerja bermatlamatkan pencapaian Maqasid Syariah yang merangkumi lima prinsip utama iaitu perlindungan agama, nyawa, akal, harta benda dan generasi akan datang, di samping penerapan terhadap pematuhan syariah serta menjunjung integriti.

Sejak penubuhan TH pada 1963, badan itu telah menguruskan ibadah haji untuk 1.5 juta umat Islam. Kini, kira-kira separuh daripada umat Islam di Malaysia atau 8.3 juta individu telah mendaftar sebagai pendeposit untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu. – Bernama