Wanita rugi deposit rumah lesap

PDRM
PDRM
A
A
A
KUANTAN- Seorang pembantu kedai makan rugi RM2,200 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran rumah sewa tidak wujud yang diiklankan melalui sebuah akaun Facebook.

Wanita berusia 22 tahun itu hanya menyedari telah ditipu apabila mendapati rumah berdasarkan alamat yang diberikan tidak wujud manakala wang deposit yang dibayar lesap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa melihat iklan tersebut pada Khamis.

Menurutnya, mangsa berminat untuk menyewa rumah yang beralamat di Indera Sempurna di sini itu lalu segera berurusan dengan seorang wanita dipercayai pemilik akaun Facebook itu.

"Mangsa menghubungi wanita itu melalui aplikasi Messenger sebelum dia diberikan satu nombor telefon untuk berhubung dalam urusan itu.

"Selepas berurusan dan dijelaskan tentang sewa, deposit dan surat perjanjian penyewaan, mangsa bersetuju untuk menyewa rumah itu dengan menjelaskan deposit RM2,200 melalui pindahan wang ke akaun bank atas nama seorang lelaki sebagai tanda jadi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Wazir berkata, selepas bayaran itu dibuat, mangsa menghubungi wanita berkenaan namun panggilan gagal dihubungi.

"Mangsa yang mulai curiga telah membuat semakan alamat yang diberikan dan mendapati rumah itu tidak wujud.

"Syak telah ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading di sini pada hari yang sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes itu telah dibuka kertas siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, polis kini sedang mengesan pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan.