Ajaran 'mimpi' bukan berlaku di Selangor

Mohd Shahzihan - Foto Bernama
Mohd Shahzihan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak mempunyai bidang kuasa bagi melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap seorang lelaki bernama Muhammad Qasim Abdul Karim mengenai ajaran mimpi dibawanya yang mendakwa mengetahui peristiwa akhir zaman.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, siasatan awal JAIS mendapati lelaki itu tidak melakukan perbuatan itu di negeri Selangor.

Bagaimanapun, katanya, JAIS akan bertindak tegas terhadap mana-mana individu dalam kalangan penganut Islam di negeri ini yang mempercayai, berpegang teguh, menyebar, mempengaruhi, mengikuti atau memperakui pandangan pernyataan mimpi Muhammad Qasim.

"Tindakan tegas akan diambil selaras dengan peruntukan yang ditetapkan oleh undang-undang mengenai perkara tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Justeru, tegas beliau, JAIS meminta masyarakat tidak mudah terpedaya dengan keyakinan terhadap perkara berkaitan agama yang bersifat terpencil dari pengetahuan awam kerana kebenaran dalam agama Islam khususnya dalam soal akidah adalah bersifat majoriti.

"Tambahan pula, sejarah telah merakamkan banyak pemesongan dan penyelewengan akidah menggunakan propaganda mimpi-mimpi yang dikaitkan dengan kejadian tertentu dan individu tertentu sebagai hujah atau sumber keyakinan baharu dalam beragama," katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, sebuah kumpulan mengajak orang ramai untuk mempercayai seorang lelaki dari Pakistan menerusi mimpinya mengenai akhir zaman.

Kumpulan yang mula bertapak di negara ini dikenali sebagai Gerakan Akhir Zaman (Gaza) berasal dari Indonesia dan dikatakan sedang membuat persiapan untuk akhir zaman berdasarkan mimpi Muhammad Qasim Abdul Karim yang mendakwa hanya mengikut kehendak ALLAH SWT di dalam mimpinya.

Artikel Berkaitan: