'Tiada tempat untuk 'katak politik' dalam PRN Johor'

Johan Azam (tengah) menolak hasrat tiga bekas ADUN Bersatu untuk menyertai UMNO semula.
Johan Azam (tengah) menolak hasrat tiga bekas ADUN Bersatu untuk menyertai UMNO semula.
A
A
A

KOTA TINGGI - Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi menolak hasrat tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dikatakan mahu menyertai semula UMNO.

Ketuanya, Johan Azam Mohd Yasin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan 'katak politik' tersebut apatah lagi untuk menjadi calon mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

"Tindakan ini tidak lain bertujuan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit dengan menggunakan UMNO sebagai medan perjuangan mereka.

"Pemuda UMNO Kota Tinggi dengan ini berpendirian bahawa tidak akan sesekali menyokong bekas ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari mahupun ADUN Sedili, Rasman Ithnain daripada mewakili BN pada PRN.

"Kami tidak akan sesekali menyokong 'katak politik' yang tidak mempunyai pendirian dalam perjuangan. Mereka ini tidak layak mendapat tempat lagi dalam parti keramat ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor menegaskan, pemimpin yang layak disokong adalah mereka yang setia terhadap parti dalam apa jua keadaan, bukannya mereka yang berpaling dari medan perjuangan dan sanggup menggadaikan maruah demi kuasa dan harta.

"Kami berharap agar kepimpinan UMNO bahagian ini, peringkat negeri mahupun Pusat meneliti perkara itu.

"Kepimpinan parti perlu membuat keputusan tepat dalam meletakkan calon yang selayaknya bagi mempertahankan kerusi tradisi BN itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis bekas ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang mengumumkan keluar Bersatu dan meletak jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tebrau sekali gus mengisytiharkan menyokong kepimpinan BN dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Selain Mazlan, dua lagi yang disebut-sebut bakal menyertai UMNO adalah bekas ADUN Johor Lama, Rosleli dan bekas ADUN Endau, Alwiyah Talib.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rosleli, Rasman dan Alwiyah yang menang atas tiket UMNO keluar parti dan menyertai Bersatu.