'Kembali tabik hormat Sub Inspektor, Sarjan Mejar, Sarjan'

Shafien (dua dari kiri) memakaikan pangkat Sarjan kepada Hasri Hashim dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat yang naik ke pentas bersama isteri, Siti Nor Azizah Mohamad dan anaknya.
Shafien (dua dari kiri) memakaikan pangkat Sarjan kepada Hasri Hashim dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat yang naik ke pentas bersama isteri, Siti Nor Azizah Mohamad dan anaknya.
A
A
A
KOTA BHARU - Budaya tabik hormat kepada pegawai rendah polis perlu dipraktikkan kembali bagi meningkatkan integriti dan imej kumpulan itu dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, arahan tabik hormat kepada pegawai rendah polis sudah lama dikuatkuasakan, namun belum diamalkan sepenuhnya di Kontinjen Kelantan.

Menurutnya, kumpulan peringkat penyelia itu kebanyakan terdiri daripada mereka yang menyandang jawatan Ketua Polis Balai, Penolong Ketua Polis Balai dan Pegawai Penyiasat.

“Mereka ini kebiasaannya rapat dengan anak buah atau anggota di bawah seliaan mereka menyebabkan ada yang memandang ringan perkara ini.

“Jadi, penting sepatutnya anggota lebih rendah memberikan tabik hormat dan salam kepada ketua atau pegawai rendah berpangkat Sub Inspektor, Sarjan Mejar dan Sarjan dalam pasukan PDRM,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Lencana Pegawai Rendah Polis Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini pada Khamis.

Majlis berkenaan membabitkan 58 pegawai rendah polis Kontinjen Kelantan iaitu Koperal ke Sarjan seramai 29 orang, Sarjan ke Sarajan Mejar (21 orang) dan Sarjan Mejar ke Sub Inspektor (8 orang) yang hadir bersama pasangan atau keluarga masing-masing.

“Ini kali pertama inisiatif polis Kontinjen Kelantan mempelawa pasangan untuk naik ke pentas bersama-sama merasai detik-detik berharga dan perasaan bangga dinaikkan pangkat.

“Kita mahu terapkan nilai penghargaan terhadap pasangan yang menjadi tulang belakang sehingga mereka berjaya mencapai kejayaan dan lebih bersemangat menjalankan tugas yang lebih berat untuk menjaga keamanan negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, jumlah kes tatatertib membabitkan anggota dan pegawai polis di kontinjen pada tahun lepas menurun kepada 63 kes berbanding 101 pada tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

“Pada tahun 2021, seramai sembilan anggota dibuang kerja, enam diturunkan gaji, lapan didenda, 15 dikenakan amaran, 21 pula Tiada Tindakan Lanjut (NFA) dan empat tindakan lain-lain.

“Kita tidak mahu ada duri dalam daging yang boleh mengancam keselamatan pasukan dan negara. Jadi, jagalah integriti sebagai dan tata susila termasuk di media sosial,” katanya.