X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Sudah tiba masa NACP dilaksana secara menyeluruh

Kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 merosot lima anak tangga ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga 57 pada 2020.
A
A

SHAH ALAM - Sudah tiba masanya semua inisiatif yang dibangunkan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dilaksanakan secara menyeluruh, kata Persatuan Bekas Pegawai-Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presidennya, Datuk Mazlan Mohamad berkata, keperluan kepada pelaksanaan langkah tersebut perlu dilakukan setelah melihat kepada kejatuhan yang dialami oleh Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun 2021.

Menurutnya, semua agensi kerajaan dan swasta juga perlu komited untuk melaksanakan analisis risiko rasuah kepada entiti masing-masing bagi mengenal pasti risiko yang wujud.

“Ia termasuk membangunkan pelan antirasuah organisasi masing-masing untuk melaksanakan mitigasi bagi mengatasi risiko rasuah yang dikenal pasti.

“Ketua jabatan atau ketua agensi yang enggan atau tidak melaksanakan analisis risiko rasuah dan membangunkan pelan antirasuah organisasi perlu diambil tindakan yang tegas,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 merosot lima anak tangga ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga 57 pada 2020 manakala skor yang direkodkan juga merosot kepada 48 daripada 100 berbanding 51 yang direkodkan pada 2020.

Mazlan berkata, dengan adanya profil risiko yang dibangunkan melalui analisis risiko rasuah serta pelan mitigasi risiko dapat memastikan mereka mempunyai risiko rasuah sangat minimum dan seterusnya mengawal rasuah secara efektif.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pihak harus sedar bahawa pelabur asing hanya akan datang kepada negara yang memiliki ketelusan, kurang birokrasi serta bebas rasuah untuk melaksanakan perniagaan mereka.

Jelasnya, pelabur asing khuatir untuk menjalankan perniagaan di negara yang mempunyai kecenderungan rasuah yang tinggi kerana implikasi penguatkuasaan undang-undang yang dikuatkuasakan di negara tertentu.

"Langkah penguatkuasaan dimaksudkan antaranya US Foreign Corrupt Practice Act (US FCPA) dan UK Bribery Act serta termasuk penguatkuasaan undang-undang dalam kalangan negara anggota Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC)," katanya.

Sehubungan itu, Mazlan berkata, pihaknya menggesa kerajaan dan parti politik untuk mengutamakan agenda pencegahan rasuah agar negara dapat menyelamatkan berbilion ringgit wang rakyat daripada ketirisan, pemborosan, pembaziran dan perlakuan jenayah rasuah.

Katanya, kerajaan juga tidak seharusnya melengahkan pelaksanaan langkah diperlukan untuk menangani rasuah antaranya melalui pembentangan Rang Undang-undang Dana Politik, penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dan pemisahan jawatan peguam negara serta pendakwa raya.

“SPRM pula digesa dapat terus melaksanakan penguatkuasaan undang-undang pencegahan rasuah secara menyeluruh dan hindar sebarang tindakan siasatan secara terpilih.

“Begitu juga pihak pendakwa raya perlu komited serta melaksanakan pendakwaan ke atas setiap pelaku rasuah sebagaimana cadangan pihak SPRM atau agensi penguatkuasaan lain.

“Persatuan ini turut menggesa agar pihak pendakwa raya tidak lagi menggugurkan atau menarik balik pertuduhan ke atas semua individu yang telah dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!