Syarikat China rugi RM592,526 ditipu urusan jual beli sawit

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak polis sedang memburu seorang suspek warga tempatan yang disyaki menipu dalam urusan jual beli minyak sawit dengan sebuah syarikat dari negara China membabitkan kerugian mencecah RM592,526.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, mangsa merupakan lelaki warga China berusia 42 menyedari telah ditipu selepas suspek seorang lelaki tempatan gagal dihubungi.

"Pada 4 Oktober 2021 mangsa berurusan dengan suspek bagi tujuan pembekalan minyak sawit sebanyak 600 tan dengan nilai kontrak berjumlah USD465,000 (RM1.95 juta) dari Indonesia ke China.

"Pada 11 dan 20 Oktober 2021, mangsa telah membuat dua transaksi pembayaran sebagai wang pendahuluan berjumlah RM592,526 ke dalam akaun bank milik syarikat suspek.

"Mengikut perjanjian, syarikat mangsa akan menerima bekalan minyak sawit di dalam tempoh 15 sehingga 20 hari, namun sehingga kini tiada sebarang bekalan minyak diterima," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pihak polis sedang memburu dan sudah mengenal pasti suspek yang merupakan seorang pemilik sebuah syarikat pembekal barang runcit.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Penipuan) dan pihak polis menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati," ujarnya.

Artikel Berkaitan: