X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

IPU di Pulau Pinang catat bacaan sederhana

Keadaan terkini Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung yang terbakar sejak 12 Januari lalu. (Gambar kecil: Sharifah Zakiah)
A
A

GEORGETOWN - Semua stesen pemantauan kualiti udara termasuk stesen sementara di Ladang Byram berhampiran tapak pelupusan Pulau Burung, Nibong Tebal yang terbakar lebih dua minggu lalu, menunjukkan bacaan Indeks Kualiti Udara (IPU) sederhana.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, bacaan IPU di Seberang Jaya menunjukkan 75, Seberang Prai (68), Minden (66), Balik Pulau (68) manakala stesen sementara di Ladang Byram berhampiran tapak pelupusan sampah itu adalah 92.

Menurutnya, bacaan semasa di negeri ini agak sama dengan bacaan yang direkodkan di stesen lain di Kedah iaitu Sungai Petani (69) dan Alor Star (60) manakala di Perak iaitu Lumut (65), Taiping (65) dan Ipoh (64).

Tambahnya, Putrajaya juga mencatatkan bacaan IPU 63.

"JAS Pulau Pinang telah menerima banyak pertanyaan berhubung status kualiti udara di negeri ini.

Bagaimanapun, semakan menunjukkan semua stesen pemantauan kualiti udara di Pulau Pinang kini mempunyai bacaan IPU sederhana.

"Walaupun bahan pencemar boleh disebarkan melalui angin, kesannya terhadap kawasan lain di Pulau Pinang adalah minimum," katanya pada Khamis.

Bacaan IPU di bawah 50 adalah baik; 51 hingga 100 adalah sederhana; 101 hingga 200 adalah tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan lebih daripada 300 adalah berbahaya.

Dilaporkan bahawa lebih 11 hektar daripada hampir 33 hektar tapak pelupusan sampah Pulau Burung telah musnah terbakar pada 12 Januari lalu.

Sementara itu, pada Rabu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, kira-kira 45 peratus atau lebih 11 hektar tapak pelupusan masih terbakar.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan jangka masa untuk kebakaran itu boleh dipadamkan sepenuhnya, namun beliau berjanji ia akan disegerakan.

Sebelum ini, laporan pengawasan kualiti udara di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Byram di Nibong Tebal masih menunjukkan bacaan tidak sihat.

Ia susulan, Stesen Indeks Pencemaran Udara (IPU) di situ menunjukkan julat tidak sihat iaitu 112 pada jam 9 pagi, Rabu minggu lalu.

JAS Pulau Pinang juga mengesahkan kualiti udara di kawasan sekitar adalah tercemar dan berbahaya dengan radius asap tebal tersebar sejauh 7 kilometer.

Akibat daripada itu, kira-kira 400 penduduk daripada 86 keluarga yang tinggal berhampiran tapak pelupusan sampah yang terletak di Jalan Byram dipindahkan sementara atas faktor keselamatan.

Antara penduduk yang terjejas ialah dari Kampung Baru Byram; Kampung Changkat; Kampung Bagan Buaya; Kampung Titi Hitam; Kampung Pengkalan, Kampung Jawi dan Taman Perumahan Desa Jawi.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!