Lelaki warga asing tayang 'anu' diburu polis

Tangkap layar video tular memaparkan lelaki dipercayai warga asing menunjukkan kemaluan kepada pekerja wanita ketika membuat bayaran di kaunter sebuah kedai serbaneka di Manjung.
Tangkap layar video tular memaparkan lelaki dipercayai warga asing menunjukkan kemaluan kepada pekerja wanita ketika membuat bayaran di kaunter sebuah kedai serbaneka di Manjung.
A
A
A

MANJUNG - Seorang lelaki warga asing diburu polis berhubung kes menunjukkan kemaluan kepada pekerja wanita di sebuah kedai serbaneka di sini.

Lelaki terbabit dikatakan telah melakukan tindakan sama dalam tempoh tiga hari sebelum perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Rakaman berdurasi 39 saat itu kemudiannya tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, laporan kejadian itu diterima pada 15 Januari lalu daripada mangsa seorang wanita berusia 23 tahun.

Menurutnya, daripada laporan itu, suspek didapati mempunyai niat menunjukkan kemaluannya apabila dengan sengaja membiarkan zip seluarnya berada dalam keadaan terbuka ketika membuat bayaran di kaunter.

"Berdasarkan maklumat, kejadian sama berlaku selama tiga hari, tetapi bukan dalam tempoh berturut-turut dengan modus operandi sama.

"Suspek didapati masuk ke kedai dalam keadaan zip seluar tertutup tetapi apabila mahu keluar, zipnya dibiarkan terbuka," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung sudah memanggil mangsa untuk diambil keterangan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, maklumat awal mendapati suspek dipercayai warga asing dan pihaknya kini sedang mengesan suspek.

"Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Video tular berkenaan memaparkan lelaki terbabit sedang membuat pembayaran barang dibelinya dengan keadaan kemaluannya terkeluar daripada seluar yang tidak berzip.