Imigresen tahan 12,492 PATI dari Januari

No Image Caption
A
A
A

SERDANG - Jabatan Imigresen Malaysia telah menahan seramai 12,492 pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada 57,805 rakyat asing yang diperiksa, melibatkan pelbagai kesalahan imigresen bagi tempoh awal Januari sehingga semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam tempoh berkenaan seramai 270 majikan turut ditahan antaranya melibatkan kesalahan menggaji PATI secara tidak sah.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan PATI yang ditahan, tangkapan tertinggi adalah warga Indonesia iaitu 4,351 orang, warga Bangladesh (3,002), warga Myanmar (1,191), warga Filipina (1,138) dan baki selebihnya adalah dari negara-negara lain.

Sementara itu, mengulas mengenai isu kebanjiran warga asing yang didakwa menguasai pasar borong Seri Kembangan, di sini, Khairul Dzaimee berkata ramai yang masih tidak menyedari golongan itu kini sudah mula menguasai pasar borong berkenaan.

“Mereka (warga asing) bukan sahaja menjadi pekerja malah ada dalam kalangan mereka sudah bergelar tauke dengan menyewa lot kedai daripada peniaga tempatan yang ‘menjual’ tapak serta lesen perniagaan masing-masing.

“Oleh yang demikian, kami telah menjalankan operasi bersepadu di pasar borong itu pada pagi tadi dengan membuat pemeriksaan terhadap 198 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu hanya 66 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya kepada pemberita selepas operasi menangkap PATI, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata dalam pemeriksaan yang sama merekodkan seramai 46 orang warga asing adalah merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

Beliau berkata pihaknya akan membuat operasi berterusan dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia dan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan bagi mengesan majikan yang didapati menyewakan premis atau lot perniagaan mereka kepada warga asing.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman yang turut menyertai operasi itu berkata pihaknya memandang serius isu warga asing berkenaan yang dikatakan memonopoli perniagaan di pasar borong.

Beliau berkata kebanyakan PATI ditahan dalam operasi ini mempunyai kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial serta tidak memiliki permit yang sah untuk bekerja di negara ini.

“Berniaga secara haram ini merupakan antara kesalahan yang besar kerana mereka ini (warga asing) menjalankan perniagaan secara haram tetapi tidak dikenakan cukai malah rakyat tempatan yang berniaga perlu membayar cukai,” katanya. - Bernama