Kon Yeow selesai jalani kuarantin kendiri

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hari ini selesai menjalani kuarantin kendiri selepas menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Menurut Kon Yeow, beliau menjalani kuarantin kendiri selama lima hari di kediamannya di sini.

"Saya berada di rumah sepanjang lima hari selepas diarahkan menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat ketika menghadiri satu majlis pada Sabtu lepas.

"Terima kasih kepada teknologi kerana saya boleh menjalankan tugas secara dalam talian walaupun perlu berada di rumah," katanya ketika menyampaikan ucapan secara maya pada Majlis Penghargaan Kepada Petugas Skuad Khas Majlis Bandaraya Pulau Pinang Pasca Banjir 'Gigih Perkasa' di Komtar pada Khamis.

Mengulas mengenai majlis yang dihadirinya pada Sabtu lepas, Kon Yeow berkata, ketika majlis tersebut, beliau duduk di sebelah individu yang disahkan positif Covid-19.

"Saya disahkan menjadi kontak rapat selepas berada di sebelah individu berkenaan.

"Kita tidak akan tahu atau sedar menjadi kontak rapat kepada mana-mana individu, oleh itu kita mesti sentiasa berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Kon Yeow menjalani kuarantin selama lima hari bermula Ahad selepas diarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menjalani ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) pada Selasa dan dua ujian Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) yang dijalankan didapati negatif.