Ubah tabiat buang sampah ke dalam longkang: Exco

Gambar hiasan. Gambar kecil: Izham Hashim
Gambar hiasan. Gambar kecil: Izham Hashim
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai diminta mengubah tabiat membuang sampah ke dalam longkang bagi mengelakkan saluran air tersumbat dan mencetuskan banjir kilat apabila berlaku hujan lebat.

Perkara itu ditegaskan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim bagi mengelak kejadian banjir kilat berulang di Taman Sri Muda seperti dilaporkan Sinar Harian pada Selasa lalu.

“Jika sikap begitu menjadi amalan sudah pasti longkang tersumbat dan akhirnya menyebabkan laluan air (longkang) tersekat.

“Hasil pemantauan banjir dan saluran air baru-baru ini terutama di Taman Sri Muda, Seksyen 25 mendapati pam dan pintu air semua berfungsi dengan baik cuma aliran air di beberapa longkang kecil tersekat disebabkan sampah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan 50 Tahun Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di Wisma PKPS pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, pihaknya sudah meminta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan KDEB Waste Management (KDEBWM) supaya menggandakan usaha membersihkan longkang-longkang di kawasan terbabit.

“Justeru saya memohon kepada orang ramai untuk membuang sikap membuang sampah ke dalam longkang kecil dan memastikan ia tidak menyekat aliran air ke longkang besar semasa hujan lebat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, hujan lebat menimbulkan panik kepada penduduk di Jalan Tokoh 25/28 di Taman Sri Muda, apabila beberapa batang jalan dinaiki air secara mendadak sekitar jam 4 petang namun mulai surut sejam selepas itu.