Draf syor-syor Jawatankuasa Transformasi Parlimen diserah sebelum Mac

Rais (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Transformasi Parlimen pada Khamis.
Rais (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Transformasi Parlimen pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Suatu draf syor-syor Jawatankuasa Transformasi Parlimen akan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang akan mengemukakan memorandum kepada Jemaah Menteri sebelum Mac tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Parlimen, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, ia bagi membolehkan Parlimen berfungsi secara berasingan daripada kuasa Eksekutif.

Menurut beliau, usaha mewujudkan fungsi dan peranan Parlimen yang berasingan daripada pengawalan cabang Eksekutif telah lama dipolemikkan.

“Namun ia tiada menjadi tindakan asas sehingga kini, khasnya susulan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan pihak pembangkang pada September lalu,” katanya dalam kenyataan pada Mesyuarat Jawatankuasa Transformasi Parlimen pada Khamis.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia dan kedua-dua Setiausaha Parlimen Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta pegawai-pegawai yang mewakili pelbagai jabatan.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, jawatankuasa itu hanya berurusan mengembalikan kuat kuasa Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang telah dihentikan kuat kuasanya semenjak 1993.

“Di bawah akta ini terletak sebahagian fungsi dan kuasa asingan Parlimen termasuk dari segi otonomi pentadbiran dan kewangan.

“Tanpa pengembalian fungsi dan peranan pentadbiran dan kewangan, Parlimen tidak akan berfungsi secara berasingan daripada kuasa Eksekutif,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan: