X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Mufti Perlis saran solat istikharah sebelum ambil dos penggalak

Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
A
A

SHAH ALAM - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan individu yang layak mengambil suntikan vaksin Covid-19 dos ketiga atau dos penggalak supaya terlebih dahulu melakukan solat istikharah sebelum membuat keputusan untuk menerima suntikan berkenaan.

Beliau yang sebelum ini turut mencadangkan penangguhan pengambilan dos penggalak vaksin Covid-19 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengulangi kebimbangannya terhadap kesan bakal dialami oleh penerima suntikan dos tersebut.

“Dos pertama dan kedua keperluan. Dos ketiga, mungkin membawa kebaikan atau mungkin juga pembaziran dan penderitaan.

"Pastikan keselamatan diri sebelum melangkah pergi. Istikharah dahulu sebelum keputusan diambil,” katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Khamis.

Tangkap layar ciapan Mohd Asri pada Khamis.
Tangkap layar ciapan Mohd Asri pada Khamis.

Mohd Asri sebelum ini memaklumkan bahawa penangguhan pemberian dos penggalak perlu dilakukan kerana ia dibimbangi mempunyai kesan serius terhadap kesihatan penerima yang mengambil suntikan berkenaan.

Meskipun tidak menafikan peranan vaksin dalam mengurangkan risiko Covid-19, namun beliau berkata, banyak aduan telah disuarakan kepadanya mengenai kesan serius yang dialami selepas pengambil dos ketiga vaksin Covid-19.

Pada masa sama, Mohd Asri turut menyatakan bahawa bapanya juga telah dimasukkan ke hospital selepas keadaan kesihatannya dilihat semakin teruk selepas menerima dos penggalak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham pada 22 Januari lalu memaklumkan, sebanyak 51 kes atau 5.2 peratus daripada 984 laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) bagi dos penggalak vaksin Covid-19 diklasifikasikan sebagai serius setakat 20 Januari.

Menurutnya, kadar tersebut bersamaan dengan 0.005 laporan kes serius bagi setiap 1,000 dos yang diberikan.

Dr Noor Hisham berkata, pemantauan laporan AEFI yang diterima oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) setakat ini menyimpulkan bahawa trend dan kadar pelaporan AEFI melibatkan dos penggalak tidak menunjukkan sebarang peningkatan daripada apa yang dilihat semasa pemberian dos primer.

Jelas beliau, trend pelaporan yang sama juga turut dilaporkan oleh negara lain yang telah menjalankan program imunisasi bagi dos penggalak vaksin Covid-19.

Katanya, antara kesan advers yang kerap dilaporkan oleh penerima vaksin ialah demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala dan keletihan

Pada masa sama, Dr Noor Hisham turut memaklumkan penerima vaksin yang mengalami kesan advers boleh membuat laporan AEFI menerusi notifikasi di aplikasi MySejahtera bagi kesan tersenarai di dalam aplikasi itu selain laporan secara dalam talian dengan mengisi Borang Pelaporan Kesan Sampingan Ubat Untuk Pengguna (ConSERF) di laman sesawang NPRA (www.npra.gov.my).


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!