Genting Hong Kong muflis tidak beri impak kepada ekonomi Malaysia

Azmin
Azmin
A
A
A

SHAH ALAM - Genting Hong Kong muflis tidak memberi impak kepada kecairan dan pertumbuhan ekonomi negara, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Media sebelum ini melaporkan bahawa tiga bank Malaysia dinamakan sebagai antara ketua pemiutang tidak bercagar Genting Hong Kong, dengan gabungan pendedahan sebanyak US$600 juta (RM2.5 bilion).

"Maybank telah mengeluarkan kenyataan menyatakan ia tidak akan menjejaskan kekuatan kewangan bank itu. Saya fikir Kementerian Kewangan (MOF) akan memantau keadaan itu dengan teliti.

"Bagaimanapun, setakat ini berdasarkan kenyataan yang diberikan oleh Maybank, ia tidak memberi impak kepada kecairan kita dan saya fikir Bank Negara Malaysia (BNM) dan MOF akan mengambil langkah untuk memastikan kecairan dalam negara akan terus kukuh,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata pada amnya, Bank Dunia telah menyemak semula prestasi pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun ini yang agak baik.

"Dengan angka terkini yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, kami menjangka untuk mencapai pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus dan ini juga sejajar dengan unjuran oleh MOF dan BNM Malaysia yang mengunjurkan pertumbuhan antara 5.5 dan 6.5 peratus pada 2022 yang ternyata merupakan prestasi yang lebih baik berbanding 2021 sebanyak 3.3 peratus,” katanya.

Mengenai dokumen analisis kos-faedah (CBA) untuk ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Azmin berkata kementeriannya sedang meneliti dapatan laporan itu.

"Saya akan membentangkan dapatan laporan ini kepada Kabinet dengan harapan pada akhir Februari ini untuk mendapatkan mandat daripada Kabinet dan kami akan menjadikan dapatan CBA untuk CPTPP kepada umum.

Artikel Berkaitan:

"Kami menjangka untuk meneruskan perbincangan mengenai perkara ini dengan pihak berkepentingan untuk memastikan semua pihak memahami kewajipan oleh sektor swasta dan awam apabila berkaitan CPTPP dan apakah faedahnya dan kami menjangka untuk memuktamadkan proses ini pada suku ketiga tahun ini, ” katanya.-- Bernama