Catuan Tebangan Tahunan dikurangkan jika lebihi kuota

Ahmad Samsuri (tengah) bersama Takiyuddin (kanan) semasa melawat projek solar berskala besar berkapasiti 29.99 MWac di Kampung Tok Arun Mukim Kuala Paka, Dungun hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Samsuri (tengah) bersama Takiyuddin (kanan) semasa melawat projek solar berskala besar berkapasiti 29.99 MWac di Kampung Tok Arun Mukim Kuala Paka, Dungun hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

DUNGUN – Catuan Tebangan Tahunan (CTT) bagi pengusahasilan balak setiap tahun kepada negeri-negeri mungkin akan dikurangkan sekiranya ada negeri yang didapati melebihi kuota pembalakan dibenarkan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setiap negeri sebenarnya mempunyai CTT yang ditentukan melalui keputusan Majlis Tanah Negara (MTN) pada setiap tahun.

“Jadi kita kena semak sama ada melepasti CTT atau tidak.

“Dari segi tindakan, kuota penebangan mungkin akan dikurangkan selepas ini,” katanya ketika ditanya mengenai tindakan boleh dikenakan terhadap negeri yang didapati melebihi CTT penebangan balak.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Majlis Perasmian Projek Large Scale Solar 29.99 MWac Kenyir Gunkul Solar Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Santong, Paka, di sini pada Khamis.

Majlis disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu turut dihadiri Pengarah Kenyir Gunkul Solar Sdn Bhd, Datuk Seri Ong Ah Hwa.

Ditanya mengenai dakwaan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) bahawa aktiviti pembalakan di negeri itu tidak menjejaskan populasi harimau, beliau berkata, apa yang dimaksudkan adalah pembalakan yang dilakukan secara tersusun.

“Satu kajian dari luar itu adalah pembalakan tersusun yang mana Majlis Tanah Negara di peringkat Persekutuan menetapkan CTT. Jadi kalau pembalakan dibuat berdasarkan CTT, ia akan memberi manfaat kepada ekosistem termasuk harimau,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pelbagai pihak sebelum ini mengaitkan kejadian beberapa ekor harimau berkeliaran di perkampungan orang asli di Pos Bihai di Gua Musang, Kelantan dengan aktiviti pembalakan.

Pada Rabu, kerajaan Kelantan mengakui terdapat aktiviti penerokaan dan pembalakan haram yang berlaku di hutan di negeri berkenaan, namun dalam keadaan yang tidak serius.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pembalakan haram bukan sahaja berlaku di Kelantan malah turut dihadapi oleh semua negeri di Malaysia.