X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Pembalakan ketika ini tak sesuai untuk harimau: MAZPA

Antara tiga ekor Harimau Malaya yang berjaya dilahirkan di ZTNS. Gambar kecil: Dr Kevin
A
A

TAIPING - Kegiatan pembalakan ketika ini dilihat tidak membantu dalam usaha meningkatkan populasi Harimau Malaya di negara ini.

Pengerusi Persatuan Taman-Taman Zoologikal dan Akuaria Malaysia (MAZPA), Dr Kevin Lazarus berkata, kawasan hutan simpan di negara ini jauh berbeza dengan 50 tahun yang lalu kerana pembalakan dibuat secara tebang habis.

Menurutnya, hutan-hutan yang ada kini ditukar menjadi ladang atau dilaksanakan pembangunan lain menyebabkan kawasan hutan menjadi semakin terhad untuk habitat harimau.

"Pada pandangan saya dari segi pembalakan ini, mungkin 50 tahun atau 60 tahun dulu di mana kita masih banyak hutan simpan yang dijaga dengan baik, selain pembalakan dilakukan secara selektif, bukan potong habis. Tetapi untuk masa sekarang keadaan jauh berbeza berbanding dahulu.

"Mungkin sekarang sudah tidak sesuai lagi untuk kita kata pembalakan itu membantu populasi harimau kerana kawasan hutan sudah menjadi terpencil dan kecil selain mangsa juga berkurangan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Zoo Taiping dan Night Safari (ZTNS), di sini pada Khamis.

Beliau berkata, secara amnya, kawasan rayau untuk harimau belang jantan antara 250 hingga 300 km persegi manakala bagi harimau belang betina pula memerlukan kawasan seluas 80 hingga 90 km persegi selain bergantung

kepada habitat dan kekayaan hutan tersebut untuk mendapatkan makanan.

Sementara itu, Dr Kevin yang juga Pengarah ZTNS berkata, dalam membantu meningkatkan populasi Harimau Malaya ini, program pembiakan dalam kurungan telah dilakukan di zoo dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Ini sebenarnya salah satu sokongan kepada konservasi Harimau Malaya sahaja, namun apa yang paling penting adalah kita kekalkan haiwan ini di dalam habitat semula jadinya untuk selama-lamanya. Ini bermaksud, kita perlu ada Harimau Malaya di dalam hutan kita di mana hutan itu dijaga dengan betul serta bebas daripada pemburuan haram.

"Dari segi makanan pula, haiwan-haiwan seperti rusa, kijang atau seladang itu pun perlu di habitatnya sama ada dalam jumlah yang cukup sesuai atau lebih. Apa yang paling penting kita perlu kekalkan Harimau Malaya ini di alam semula jadinya," katanya.

Dalam pada itu, Dr Kevin menyarankan agar pihak berkaitan membuat perancangan yang teliti dalam sebarang bentuk pembangunan untuk dilaksanakan bagi mengelak tercetusnya konflik di antara harimau belang dan manusia.

Menurutnya, perancangan tersebut penting bagi memastikan kawasan hutan tidak menjadi kecil atau tiada kesinambungan dengan hutan-hutan lain.

Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa menjelaskan kepentingan aktiviti pembalakan yang bagus untuk harimau hanya melibatkan pembalakan di hutan terpilih sahaja.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!