Dua lelaki ditahan kes tular amuk pecahkan cermin kereta

Tangkap layar video tular kejadian seorang lelaki mengamuk dan memecahkan cermin kereta.
Tangkap layar video tular kejadian seorang lelaki mengamuk dan memecahkan cermin kereta.
A
A
A

TAIPING - Polis telah menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kejadian amuk hingga merosakkan cermin kereta yang videonya tular di media sosial sejak Rabu.

Kejadian itu dipercayai berlaku akibat rasa tidak puas hati berpunca daripada satu kemalangan membabitkan bapa lelaki berkenaan yang dilanggar ketika membawa anjing bersiar.

Keadaan semakin tegang apabila anjing tersebut mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya mengesan video berdurasi satu minit 40 saat itu ditularkan di laman sosial Facebook pada Khamis.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, video terbabit dirakam di hadapan sebuah taman perumahan di sini.

"Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah telah melakukan tangkapan ke atas dua lelaki yang terlibat dalam kejadian itu.

"Kedua-dua mereka berusia 29 dan 44 tahun itu ditahan pada jam 12.55 tengah hari tadi bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan sama turut dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera," katanya.

Video tular terbabit memaparkan seorang lelaki dalam keadaan marah memegang sebatang kayu dan bertindak memecahkan cermin sebuah kereta.