Sila log masuk terlebih dahulu.

Paras air tiga empangan utama di Kedah mencukupi

Gambar fail. - Foto Bernama
Gambar fail. - Foto Bernama
A
A
A

JITRA - Paras air di tiga empangan utama di Kedah yang di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih mencukupi dan berada pada paras selesa meskipun cuaca panas yang melanda negeri ini pada masa ini.

Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, paras air di Empangan Pedu mencatatkan bacaan 84 peratus, Empangan Ahning (93 peratus) manakala Empangan Muda (90 peratus).

"Takungan air di ketiga-tiga empangan diselia MADA ini berada pada paras selesa dan MADA tetap akan meneruskan pembekalan air kepada kawasan sawah padi yang masih memerlukan bekalan air untuk aktiviti penanaman padi.

"Pada mulanya berlaku kelewatan penanaman akibat masalah benih, namun kami berjaya mengatasinya bagi membolehkan pengeluaran padi di kawasan MADA terjamin dan air akan dilepaskan tanpa masalah bagi yang memerlukan,” katanya.

Ahmad Tarmizi berkata, demikian kepada pemberita selepas menyampaikan geran bantuan kerajaan bagi MADA Wilayah II, Jitra dan melancarkan Kedai Barang Bekalan Ladang (BBL) di Pertubuhan Peladang Kawasan MADA E-II Kubang Sepat dekat sini hari ini.

Ahmad Tarmizi turut memberi jaminan yang takungan di empangan berkenaan dapat menampung keperluan pada musim 1/2022 selepas Mac ini.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 6,305.1 hektar (6.3 peratus) sawah padi telah dituai dan dijangka akan selesai pada penghujung Mac ini bagi aktiviti penanaman padi musim 2/2021.

Katanya dalam tempoh penuaian itu, pihak MADA menggalakkan para petani melakukan aktiviti pengumpulan jerami padi bagi mengurangkan pembakaran jerami secara terbuka sekali gus dapat menjana pendapatan sampingan.

"Untuk program pengumpulan jerami ini, kerajaan telah meluluskan RM2.48 juta untuk pembelian mesin baler, wrapper jerami dan sasaran kami sebanyak 31,000 tan jerami dikumpul dalam tempoh lima tahun Rancangan Malaysia Ke-12 ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

"Peruntukan tersebut turut digunakan untuk menaik taraf 10 pusat pengumpulan jerami padi sedia ada dan membantu para usahawan jerami padi di kawasan PPK,” katanya yang juga memaklumkan bahawa sejak 2015 hingga 2020, MADA mengutip jerami sejumlah 6,605 tan dengan kebanyakan digunakan bagi mengurangkan kos makanan ternakan di Malaysia.

Mengulas mengenai Kedai BBL itu, Ahmad Tarmizi berkata ia inisiatif MADACorp bagi memudahkan para petani mendapatkan keperluan barangan sawah pada harga berpatutan yang tidak membebankan golongan berkenaan.

"Menerusi BBL ini, petani boleh membeli racun, baja dan keperluan ladang pada harga yang kompetitif kerana harganya terkawal dan dipantau MADA,” katanya. - Bernama