Pas Sabah akan hantar jentera bantu PRN Johor

Mohd Arifin menyampaikan cenderamata kepada Idris selepas hadir pada majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Sabah, di Wisma Muis, Kota Kinabalu.
Mohd Arifin menyampaikan cenderamata kepada Idris selepas hadir pada majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Sabah, di Wisma Muis, Kota Kinabalu.
A
A
A
KOTA KINABALU - Pas Sabah dijangka turut akan menghantar jentera parti bagi membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bagaimanapun Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad berkata, perkara itu belum dibincangkan secara rasmi dengan Pas Sabah.

"Kalau kita bertanding, memang itu kebiasaan. Bukan setakat Sabah tetapi seluruh Malaysia. Perbincangan belum secara rasmi lagi.

"Siapa berkemampuan, boleh pergi. Kita terbuka datang secara sukarela kita tak bayar. Macam kita datang Sabah (PRN Sabah) pun kita sukarela," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pada majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Sabah, di Wisma Muis, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jika ada perbincangan dengan Pas Sabah untuk menurunkan jentera pada PRN Johor kelak.

Isnin lalu, Pas Johor memaklumkan kira-kira 15,000 jentera dari seluruh negara akan digerakkan untuk berkempen dalam PRN Johor.

Diminta mengulas berhubung kerusi yang akan dipertandingkan dalam PRN Johor, beliau berkata ia belum dibincangkan setakat ini.

"Belum lagi kita bincang. Tunggu hari penamaan calon nanti berapa Pas tanding, berapa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berapa UMNO tanding. Nanti lihat sekarang ini, kalau cakap-cakap tak jadi," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program yang dihadirinya, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memaklumkan bahawa program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Ihsan khas untuk pelajar sekolah menengah akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

"KAFA Ihsan melibatkan pelajar sekolah menengah yang akan kita fokus kepada mereka. Sebab dari darjah satu hingga darjah enam sudah ada KAFA biasa.

"Kita akan bentuk modul dalam program ini, kita tak putuskan lagi. Insya-ALLAH dalam masa terdekat kita akan umumkan," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, program itu adalah pilihan untuk pelajar sekolah menengah yang beragama Islam namun dalam masa sama mereka digalakkan untuk menyertainya.

"Sekolah semua termasuk, ia cuma pilihan bukan wajib. Tidak termasuk dalam peperiksaan, hanya sebagai nilai tambah untuk pelajar kita," katanya.

Hadir sama, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.