IHPR Malaysia naik 10 peratus pada Disember 2021

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

INDEKS Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia bagi pengeluaran tempatan meningkat 10.0 peratus tahun ke tahun pada Disember 2021 berbanding penurunan 2.1 peratus yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan ini adalah kesan daripada harga komoditi utama yang meningkat pada kadar lebih rendah, namun tekanan inflasi masih berterusan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) pada Khamis.

Dalam satu kenyataan, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan IHPR pengeluaran tempatan pada Disember 2021 disumbangkan oleh indeks perlombongan yang melonjak 45.1 peratus berbanding kejatuhan 40.0 peratus yang dicatatkan pada Disember 2020, dipacu oleh kenaikan harga minyak mentah (46.8 peratus) dan gas asli (37.0 peratus).

"Indeks pertanian, perhutanan dan perikanan juga meningkat pada kadar sederhana iaitu 10.9 peratus berbanding 23.5 peratus pada Dis 2020, sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan dalam indeks perikanan (12.4 peratus), pengeluaran ternakan (11.6 peratus) dan penanaman tanaman kekal (11.2 peratus)," katanya.

Sementara itu, indeks pembuatan meningkat 7.6 peratus pada Disember 2021, disumbangkan oleh indeks bagi subsektor pembuatan produk petroleum bertapis (22.3 peratus), pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (18.1 peratus) dan pembuatan kimia asas, baja dan sebatian nitrogen, plastik serta getah sintetik dalam bentuk primer (15.6 peratus).

Beliau menambah, indeks bagi subsektor pembuatan produk plastik, pembuatan produk getah dan pembuatan besi dan keluli asas turut meningkat sementara indeks utiliti merekodkan peningkatan secara marginal masing-masing dengan 0.9 peratus dan 0.7 peratus bagi indeks bekalan air dan indeks bekalan elektrik dan gas.

Melihat kepada perbandingan bulan ke bulan, Mohd Uzir menjelaskan, IHPR pengeluaran tempatan buat pertama kalinya mencatatkan penurunan setelah merekodkan peningkatan secara konsisten selama 14 bulan berturut-turut.

IHPR pengeluaran tempatan turun 0.6 peratus pada Disember 2021 dengan penurunan ini disumbangkan terutamanya oleh indeks perlombongan dengan catatan negatif 4.2 peratus.

Artikel Berkaitan:

Indeks pertanian, perhutanan dan perikanan turut mencatatkan penurunan 2.9 peratus, dipacu terutamanya oleh harga buah tandan segar kelapa sawit yang merosot 4.9 peratus berbanding November 2021.

Harga bagi ayam juga menunjukkan penurunan 0.8 peratus, tambah beliau.

Sementara itu, indeks pembuatan meningkat secara marginal 0.1 peratus, disokong oleh kenaikan sederhana 0.7 peratus bagi subsektor pembuatan produk petroleum bertapis selain peningkatan harga bagi produk-produk berkaitan dengan pembinaan.

Namun begitu, peningkatan marginal dalam indeks pembuatan turut diimbangi dengan kejatuhan 0.8 peratus bagi pembuatan komponen dan papan elektronik.

Pada masa yang sama, indeks bekalan air dan bekalan elektrik dan gas masing-masing meningkat 0.5 peratus dan 0.1 peratus.

Mohd Uzir seterusnya berkata, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 9.5 peratus pada tahun 2021, yang merupakan peningkatan tertinggi dalam tempoh sedekad yang lalu. Ini juga kali pertama IHPR mencatatkan peningkatan setelah merekodkan penurunan selama tiga tahun berturut-turut.

Tahun 2021 menyaksikan bagaimana ekonomi di seluruh dunia mengalami masalah bekalan yang tidak mencukupi untuk menampung permintaan yang kembali pulih setelah sekatan pergerakan di kebanyakan negara dimansuhkan. Ini menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan dan memberi tekanan kepada harga komoditi dan bahan mentah.

Selain itu, keadaan cuaca sejuk berpanjangan luar biasa di beberapa negara turut menyebabkan kenaikan harga bagi komoditi utama terutamanya gas asli.

Bagi tahun 2022, dunia berdepan dengan ancaman penularan varian Omicron pula yang turut memberi kesan signifikan kepada harga komoditi utama terutama minyak mentah. - Bernama