UiTM, SPR meterai MoU

Seramai 452,559 orang atau 38 peratus daripada 1.2 juta pelajar IPT merupakan pelajar yang berumur antara 18 hingga 20 tahun, yang berada di bawah kawal selia KPT. (Gambar kecil: Noraini Ahmad)
Seramai 452,559 orang atau 38 peratus daripada 1.2 juta pelajar IPT merupakan pelajar yang berumur antara 18 hingga 20 tahun, yang berada di bawah kawal selia KPT. (Gambar kecil: Noraini Ahmad)
A
A
A

SHAH ALAM - Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat sebagai satu langkah proaktif bagi mempersiapkan mahasiswa dalam pelaksanaan Undi18.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, UiTM adalah salah satu institusi terbesar di Malaysia dengan kapasiti seramai 185,400 orang pelajar di seluruh negara.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 85,201 orang mewakili 46 peratus berusia antara 18 hingga 20 tahun yang akan terlibat dengan pelaksanaan Undi18 nanti.

“Jumlah ini mewakili hampir 19 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar yang terlibat dengan Undi18 di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Justeru, jalinan kerjasama ni dilihat sebagai satu langkah proaktif UiTM sebagai perintis kepada projek KPT bagi Program Kesedaran Pendidikan Pengundi dalam kalangan mahasiswa,” katanya sempena Majlis Menandatangani MoU antara UiTM dengan SPR dan pelancaran buku Laporan Kajian Pembentukan DNA Uitm pada Khamis.

Beliau berkata, seharusnya program pendidikan kesedaran pengundi tersebut diluaskan lagi ke institusi pengajian tinggi (IPT) yang lain untuk cakupan ruang lingkup yang lebih luas.

“Malah, saya percaya dengan usaha berterusan dan kerjasama yang dilaksanakan dapat memberi pendedahan dan mempersiapkan mahasiswa dalam mengetahui hak serta tanggungjawab mereka sebagai pengundi dalam menentukan masa hadapan negara.

“Ia juga dapat mempersiapkan mereka sebagai barisan pelapis kepimpinan negara kelak,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Noraini turut menzahirkan ucapan tahniah kepada sepasukan penyelidik daripada UiTM diketuai oleh Profesor Dr Amer Shakir Zainol, atas penghasilan naskhah buku Laporan Kajian Pembentukan DNA UiTM yang akan dilancarkan pada hamis.

Beliau akui tertarik dengan istilah DNA yang digunakan sebagai metafora bagi menggambarkan elemen jati diri dan semangat cinta akan negara yang ingin dibentuk serta diterapkan dalam jiwa pelajar-pelajar di UiTM.

“DNA ini diharapkan dapat terus mengalir kepada generasi anak muda kini dan mereka dapat memahami aspirasi universiti beracukan identiti dan jati diri UiTM ini sendiri.

“Saya difahamkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM pula telah membangunkan modul yang dinamakan modul Program Aspirasi DNA UiTM atau singkatannya, PADU.

“Baru-baru ini, program berteraskan modul PADU ini telah dijalankan di Pusat Latihan UiTM Kampung Gajah, Perak bersama barisan ‘Master Trainer’ dan akan dikembangkan untuk dilaksanakan di cawangan dan kampus UiTM di seluruh Malaysia,” tambah beliau.