JAIS siasat ajaran 'mimpi' lelaki Pakistan

Abdul Aziz
Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menyiasat penyebaran ajaran 'mimpi' lelaki Pakistan oleh Gerakan Akhir Zaman (Gaza) yang didakwa mula dikembangkan di dalam negara.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, setakat ini pihak JAIS belum menerima aduan penyebaran ajaran sesat itu di Selangor.

Abdul Aziz berkata, pihaknya juga belum mempunyai maklumat terperinci mengenai gerakan tersebut.

"Ajaran sesat di Selangor ini banyak, jadi ia sentiasa berkembang dari satu masa ke satu masa. Gaza ini masih baharu mungkin datang daripada ajaran-ajaran yang lama.

"Kita masih siasat perkara ini, saya telah berbincang dengan pengarah JAIS dan ketua polis negeri untuk meneliti perkara ini, selepas itu JAIS akan ambil tindakan lanjut," jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai ajaran 'mimpi' lelaki Pakistan oleh kumpulan Gaza.

Kumpulan berasal dari Indonesia itu mengajak orang ramai mempercayai seorang lelaki dari Pakistan, Muhammad Qasim Abdul Karim yang mendakwa hanya mengikut kehendak ALLAH SWT di dalam mimpinya.

Abdul Aziz ditemui pada Majlis Perutusan Pengerusi MAIS dan Pelancaran K-Guam di Auditorium Dahlia, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Menerusi perutusan itu, Abdul Aziz memberitahu MAIS menghadapi cabaran dan ancaman akidah dalam menjaga kesucian Islam seperti kemunculan fahaman Ibu Yati, golongan Atheis dan

sekularisme.

Menurutnya, permasalahan itu telah bertapak sejak dahulu dan usaha pencegahan menerusi pendidikan, penguatkuasaan serta pemulihan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan isu itu

dibendung sebaiknya.

"Selain itu, bagi menangani kes-kes mahkamah dan perundangan yang melibatkan kesucian Agama Islam, MAIS telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pakar Perundangan Litigasi Kesucian Agama Islam (PERLIMA).

" Ia bertujuan mengesyorkan tindakan yang perlu dilaksanakan oleh MAIS berhubung dengan sesuatu kes kesucian agama Islam yang melibatkan kepentingan MAIS atau undang-undang Islam dan strategi mengangkat kedudukan agama Islam serta memperkasa undang-undang Islam di Selangor melalui tindakan litigasi, " jelasnya.