Serangan Jumaat di Christchurch

Karangan bunga tanda penghormatan dan solidariti untuk mangsa tembak rambang di Christchurch.
Karangan bunga tanda penghormatan dan solidariti untuk mangsa tembak rambang di Christchurch.
A
A
A

SERANGAN ganas "lone wolf" oleh Brenton Tarrant didapati termotivasi daripada kebenciannya terhadap umat Islam. Dia mengaku melakukan aksi tersebut untuk mengecilkan populasi Muslim khususnya pendatang asing.

Brenton terinspirasi daripada Breivik. Metod serangan Brenton hampir sama dengan kes Anders Breivik, warganegara Norway yang berfahaman nasionalis-ekstremis. Pada Julai 2011, Breivik telah membunuh lebih 69 aktivis muda parti Buruh yang menyertai sebuah youth camp di sebuah pulau kecil bernama Utoya di Norway. Tindakan nekad memburu mangsanya di kem tersebut amat mengerikan.

Breivik juga menerbitkan manifesto sendiri setebal 1,500 halaman yang mendukung fahaman ketuanan Eropah, anti Muslim dan kebencian terhadap penguasaan umat Islam di banyak negara Eropah. 2083 - A European Declaration of Independence telah diterbitkan dalam internet beberapa jam sebelum Breivik meletupkan bangunan kerajaan dan menyerang anak-anak muda yang tidak berdosa.

Brenton pula mengemukakan manifestonya, The Great Replacement setebal 74 halaman, yang menerangkan fahamannya sebagai anti Muslim dan anti pendatang. Brenton sebaliknya menafikan identitinya sebagai warga Australia tetapi warga Eropah.

Dalam sebuah laporan oleh SETA yang menghimpunkan pengalaman dan tragedi Islamofobia di serata Eropah berjudul European Islamophobia Report 2017, penyelidik berjaya menggariskan banyak rekomendasi penting bagi menangani Islamofobia. Kajian ini amat terperinci dan bermanfaat kepada semua terutamanya policy-makers dan pengamal media.

Episod Islamofobia dan menjaja kebencian terhadap pendatang asing (xenophobia) sudah lama mendominasi wacana di banyak negara khususnya di Eropah. Ia semakin rumit apabila politikus dan media terus menerus meraih keuntungan dengan modal kebencian serta bersikap double standard dalam berinteraksi dengan komuniti Muslim.

Siri-siri keganasan seperti di Christchurch akan terus berlaku lagi seandainya semua pihak gagal menguruskan prejudis (bersangka-sangka) serta terpengaruh dengan fahaman ekstremisme.

Jalan terbaik setiap kita membina jambatan demi keamanan, bersungguh-sungguh memahami orang lain serta menjernihkan keadaan.

Artikel Berkaitan:

Doa dan ingatan buat mangsa yang syahid dan kaum keluarga dan sahabat handai mereka.

Pihak berkuasa wajib mengadili semua pelaku teroris tersebut dan mengembalikan keamanan di bumi New Zealand.

*Penulis ialah pelajar PhD Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia dan pengasas Euromates. #BridgingGaps #UnderstandingEachOther