Orang asli mahu penduduk terlibat usaha banteras ancaman harimau

Sapiah
Sapiah
A
A
A

TAPAH - Masyarakat orang asli di Pos Bihai, Gua Musang meminta agar penduduk setempat terlibat dalam usaha membanteras ancaman harimau di kawasan itu.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Sapiah Mohd Nor berkata, perkara itu disuarakan selepas timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk kerana ada gerakan dan operasi dijalankan dalam hutan telah melanggar pantang larang serta budaya mereka.

Menurutnya, penduduk setempat mahu pandangan dan cadangan mereka diambil kira dalam usaha itu bagi menjaga kepentingan bersama.

"Saya ada bangkitkan perkara ini dalam mesyuarat bersama menteri bahawa dalam usaha mengawal ancaman harimau ini, mesti libatkan juga masyarakat setempat.

"Kita faham jabatan dan agensi mengambil tindakan sebagaimana prosedur ditetapkan, tetapi dalam hal ini orang asli berpendapat mereka pun ada pantang larang mereka sendiri.

"Contohnya baling-baling mercun dalam hutan, bagi mereka ia sesuatu yang tidak boleh dilakukan dan perkara-perkara yang dianggap melanggar pantang larang ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan Tube Camp daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) kepada Jakoa di Kampung Orang Asli Lata Kinjang, Chenderiang di sini.

Artikel Berkaitan:

Sapiah (tengah) yakin kemudahan Tube Camp yang ditempatkan di air terjun Lata Kinjang mampu melonjakkan eko pelancongan di situ.
Sapiah (tengah) yakin kemudahan Tube Camp yang ditempatkan di air terjun Lata Kinjang mampu melonjakkan eko pelancongan di situ.

Hadir sama, Perunding Operasi PPPNP, Ibrahim Yaacob; Ketua Wilayah Pihak Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Negeri Perak dan Pulau Pinang, Jariyah Hashim dan Tok Batin Kampung Orang Asli Lata Kinjang, Rani Ulin.

Sapiah berkata, pihaknya telah dimaklumkan satu pasukan task force telah ditubuhkan di sana diketuai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Katanya, pasukan Senoi Praaq Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) juga telah memulakan tugasan membantu mengawal kawasan itu daripada ancaman harimau.

"Jakoa akan cuba sebaik mungkin mengambil peranan menerangkan kepada masyarakat orang asli di sana.

"Memandangkan bahaya harimau itu yang jadi fokus utama, maka aspek budaya itu mungkin terpaksa kita kurangkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sapiah berkata, kemudahan Tube Camp yang ditempatkan di air terjun Lata Kinjang itu dapat merancakkan lagi pembangunan eko pelancongan di kawasan penempatan orang asli.

"Impaknya tidak kepada ekonomi sahaja, tetapi secara tidak langsung memberi pendedahan kepada mereka dalam mengurus tadbir kawasan ini dengan baik," katanya.

Sebanyak 10 Tube Camp dilengkapi penyaman udara dan katil bersaiz 'queen' disediakan di situ dengan kos keseluruhan RM343,000.

Kemudahan itu diletakkan di bawah seliaan Koperasi Kampung Orang Asli Lata Kinjang dengan kadar sewaan RM80 dan dibuka kepada umum bermula 1 Februari ini.