Dakwaan tahu perkara ghaib amalan karut: Mufti Pulau Pinang

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Wan Salim)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Wan Salim)
A
A
A

GEORGETOWN- Dakwaan mengetahui perkara ghaib merupakan sejenis amalan karut yang sering ditimbulkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, mereka yang berbuat demikian boleh dianggap kufur atau terkeluar daripada agama Islam.

Menurutnya, umat Islam diingatkan melalui beberapa ayat Al-Quran dan hadis Nabi SAW bahawa ALLAH SWT sentiasa menguji hamba-Nya supaya terbukti di sisi-Nya siapa yang benar-benar beriman.

Katanya lagi, antara ujian ALLAH SWT ke atas umat Islam pada masa kini adalah kemunculan mereka yang mendakwa mengetahui perkara-perkara ghaib.

"Pelbagai dakwaan oleh mereka ini termasuklah pernah bertemu ALLAH SWT atau Rasulullah; melihat alam barzakh; melihat syurga neraka, bermimpi bertemu dengan ALLAH SWT serta Rasulullah dan sebagainya.

"Kesemua dakwaan seperti ini adalah karut kerana bercanggah dengan apa yang dinyatakan di dalam Al-Quran bahawa tidak ada mana-mana makhluk yang mengetahui perkara-perkara ghaib.

"Hanya ALLAH Ta’ala sahaja yang mengetahuinya, malah para Rasul pun tidak mengetahui perkara-perkara ghaib kecuali apa yang diwahyukan kepada mereka," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai sebuah kumpulan yang mengajak orang ramai untuk mempercayai seorang lelaki dari Pakistan menerusi mimpinya mengenai akhir zaman telah mula bertapak di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Kumpulan dikenali sebagai Gerakan Akhir Zaman (Gaza) itu berasal dari Indonesia dan dikatakan sedang membuat persiapan untuk akhir zaman berdasarkan mimpi Muhammad Qasim Abdul Karim yang mendakwa hanya mengikut kehendak ALLAH SWT di dalam mimpinya.

Wan Salim turut menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan sedemikian yang cuba mengeksploitasi kenaifan orang awam untuk mencapai tujuan tertentu.

"Umat Islam juga perlu merujuk kepada para ulama atau guru yang ikhlas jika mengetahui mana-mana individu yang memberi ajaran yang pelik atau meragukan terutama yang membabitkan akidah.

"Ini penting untuk mengelakkan daripada terjebak ke dalam kesesatan hanya disebabkan terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menyeleweng," katanya.