X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada alasan Muslim NZ sasaran teroris

Setenang Lake Wakatipu, Queenstown, begitulah New Zealand dengan penduduk Muslim paling kecil kenapa ia menjadi sasaran pengganas.
A
A
PADA tahun 1840, satu perjanjian telah ditandatangani oleh Raja British dengan penduduk asal bangsa Maori yang dinamakan sebagai perjanjian Waitangi. Bermula tahun 1907, kemerdekaan diberikan kepada New Zealander untuk mentadbir sendiri negara New Zealand. Walaupun begitu, kerjasama dari sudut pertahanan negara dan keselamatan negara masih ada daripada kedua-dua negara sehinggalah selepas Perang Dunia Kedua.

New Zealand (Selandia Baharu; dalam bahasa Maori disebut Aotearoa bererti tanah berawan putih panjang; dalam bahasa Latin dinamakan Nova Zeelandia) jika dirujuk kepada Global Peace Index 2018 merupakan negara kedua paling selamat di dunia selepas Iceland.

Kenapa New Zealand diletakkan dalam kategori negara kedua paling selamat? Mengikut penelitian saya, ia berhubung rapat dengan kadar jenayah yang paling kurang, paling sedikit penyakit berjangkit dan mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang baik. Laman web www.newzealand.com menyebut “New Zealand is generally a very safe place to travel with a relatively low crime rate, few endemic diseases and a great healthcare system”.

Merujuk kepada Annual Remand Prisoner Population for the Latest Fiscal Years (Populasi Banduan Reman Tahunan untuk Tahun Fiskal Terkini) bagi tahun 2018 hanya 15,402 kes jenayah dicatatkan. Jenayah-jenayah ini melibatkan semua kes, berat dan kecil. Ini menunjukkan perangkaan yang sangat kecil berbanding negara-negara lain.

Dengan memiliki penduduk seramai 4.9 juta mengikut perkiraan Mac 2019, jika dinilai dari sudut peratusan warganegara mengikut etnik, 74% bangsa Eropah, 14.9% Maori (indigenuos people), 11.8% bangsa Asia, 7.4% orang Pasifik, 1.2% dari Timur Tengah dan 1.2% lain-lain bangsa. Daripada peratusan tersebut, tak sampai 2% Muslim berkongsi habitat di New Zealand. Sangat kecil penduduk Muslim di New Zealand.

Jadi, kenapa Muslim New Zealander yang paling kecil skalanya menjadi sasaran pengganas tersebut? Apakah motif sebenar mereka? Saya terbaca beberapa ulasan mengenai Neo-Nazi di New Zealand yang mengaitkan pengganas ini dengan Neo-Nazi. Benarkah warga New Zealand terlibat dengan fahaman Neo-Nazi ini?

Berdasarkan tangkapan yang dibuat, salah seorang pengganas memegang passport Australia, yang lain belum pasti. Dalam masa sama, petisyen supaya senator Queensland, Australia, Fraser Anning meletakkan jawatan juga dikatakan kemungkinan ada kaitan dengan Neo-Nazi kerana beliau telah memberikan ucapan seolah mempertahankan serangan yang dibuat itu.

Kata-katanya begini, “The real cause of bloodshed on New Zealand streets today is the immigration program that allowed Muslim fanatics to migrate to New Zealand in the first place” bermaksud “Sebab sebenar yang menyebabkan pertumpahan darah di jalan-jalan New Zealand hari ini kerana program immigration yang membenarkan orang Islam fanatik untuk berhijrah ke New Zealand sebagai tempat hijrahan pertama mereka”.

Maka, tidak ada fakta yang boleh mengaitkan New Zealander dengan Neo-Nazi, walaupun tak dapat dinafikan bahawa New Zealander tak terlepas daripada pengaruh fahaman tersebut.

Walaupun terdapat gambar-gambar daripada media sosial telah mengetengahkan beberapa penulisan yang diambil daripada senjata yang digunakan pengganas menjelaskan keterkaitan dengan konspirasi untuk menghapuskan Muslim dan dikaitkan dengan Neo-Nazi, namun bagi saya tidak semestinya tulisan yang dibuat itu adalah seperti dijangkakan. Kemungkinan juga ada konspirasi lain yang membelakangi agenda pembunuhan nekad Muslim di masjid Jumaat kelmarin. Musuh tak akan mudah mendedahkan identiti perjuangannya. Mungkin tulisan di senjatanya itu sengaja direka-reka untuk melagakan dua ideologi besar dunia iaitu Neo-Nazi dan Islam.

Terkejut dan tergamam kerana mendengar berita pengganas yang asalnya merancang untuk membuat keganasan di Masjid Huda di Dunedin, masjid berhampiran tempat tinggal saya yang menjadi tempat mingguan saya bersolat Jumaat di sana, tetapi fikiran pengganas berubah untuk melakukan serangan di masjid di Christchurch. Sesungguhnya ALLAH maha mengetahui.

Mangsa yang syahid meningkat kepada 49 orang, manakala 42 cedera, 2 daripadanya kritikal. Daripada latar belakang New Zealand yang dijelaskan sebelum ini, kejadian ini adalah suatu di luar daripada jangkaan. Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern cukup berdukacita dan mengishtiharkan Jumaat 15 Mac 2019 adalah hari paling gelap dalam sejarah New Zealand (Darkest Day). Rakyat New Zealand juga terkejut dengan berita ini kerana selama hidup kejiranan Muslim dan Non-Muslim di New Zealand ini tiada apa-apa isu berbangkit mengenai krisis agama atau bangsa. Semuanya hidup dalam keadaan harmoni dan aman.

Selain itu, merujuk kepada satu pengumuman bahawa ini adalah isu tembak-menembak. Saya amat kesal kerana ia pasti melukakan hati keluarga mangsa yang mengetahui bahawa kejadian ini tidak berlaku sama sekali tembak-menembak, sebaliknya mangsa diserang tanpa belas kasihan oleh pihak pengganas. Mohon pihak berkenaan perbetulkan fakta. Kes ini adalah serangan kepada orang awam yang tidak bersenjata.

* Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi kini berada di University of Otago, New Zealand


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!