X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Najib gagal dalam rayuan saman Ambank, bekas pegawai

Najib - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis, agar samannya terhadap Ambank dan dua lagi pihak, didengar semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ia selepas panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Yaacob Md Sam, bersidang bersama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara menolak rayuan bekas Perdana Menteri itu.

Hakim turut mendapati rayuan tersebut tidak mempunyai merit dan Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf, yang membolehkan keputusan sebelum ini dipinda.

Oleh itu, mahkamah memerintahkan Najib membayar kos masing-masing RM40,000 bagi Ambank, AMMB Holdings Berhad (AMMB Holdings) manakala bagi bekas Pegawai Perhubungan bank itu, Joanna Yu Ging Ping sebanyak RM35,000.

Pada 9 Disember 2019, Najib memfailkan saman tersebut terhadap AmBank, AMMB Holdings dan Ging Ping dengan alasan mereka selaku defendan telah melakukan kecuaian ketika mengendalikan akaun banknya dengan mendedahkannya kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Ging Ping juga merupakan saksi pendakwaan ke-54 dalam perbicaraan kes Najib berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Najib telah disabitkan dengan kesalahan tersebut oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan dihukum penjara 12 tahun serta denda RM210 juta. Beliau kini dibebaskan sementara menunggu rayuannya akhirnya di Mahkamah Persekutuan.

Pada 28 September 2020, Hakim Datuk Khadijah Idris membenarkan permohonan tiga defendan tersebut untuk membatalkan saman itu selepas mendapati saman itu tidak boleh dipertahan, melampau, menyakitkan hati, remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Tambah hakim itu, tindakan Najib memfailkan saman tersebut bukanlah untuk mendapatkan ganti rugi tetapi sebaliknya bertujuan untuk mengukuhkan pembelaannya dalam perbicaraan kes SRC International.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!