2,200 penguat kuasa JPJ digerakkan dalam Ops Bersepadu: Ka Siong

Ka Siong (tiga dari kanan) melepaskan konvoi penguat kuasa yang akan bertugas dalam Ops Bersepadu sempena Tahun Baharu Cina.
Ka Siong (tiga dari kanan) melepaskan konvoi penguat kuasa yang akan bertugas dalam Ops Bersepadu sempena Tahun Baharu Cina.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggerakkan 2,200 anggota penguatkuasanya di seluruh negara dalam Ops Bersepadu sempena Tahun Baharu Cina (TBC), bermula 25 Januari hingga 8 Februari ini sebagai inisiatif mengurangkan nahas dan kematian di jalan raya.

Sepanjang tempoh itu, JPJ akan menggunakan kaedah penyamaran sebagai penumpang bas ekspres dan pemantauan melalui stesen penguatkuasaan (EBS) di 14 lokasi tumpuan sepanjang lebuh raya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pelaksanaan Perception Of Being Caught (POBC) dan Ops Khas Motosikal dan Pra-Ops TBC yang melibatkan pemeriksaan bas di 75 buah depot dan 28 terminal bas utama juga akan dilaksanakan bagi memastikan bas berada dalam keadaan 'road worthiness'.

Menurutnya, Ops itu juga akan melibatkan kerjasama daripada jabatan dan agensi lain, selain syarikat swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).

"Isu nahas jalan raya di negara kita bukanlah perkara baharu terutamanya melibatkan musim perayaan. Disebabkan itu, Kementerian Pengangkutan melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu bersempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan Tahun 2022.

"Kita kekalkan tema yang sama iaitu 'Pandu Cermat, Sampai Selamat' dengan berlandaskan kepada empat teras utama iaitu pendidikan dan advokasi, penguatkuasaan, pencegahan dan pemantauan serta penilaian.

"Sepanjang tempoh pelaksanaan Ops, akan ada beberapa program penguatkuasaan yang merangkumi aktiviti-aktiviti penguatkuasaan seperti Ops Tahun Baharu Cina (Ops TBC) oleh Bahagian Penguatkuasaan JPJ dan Ops Selamat Ke-17/2022 oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan dan Ops Bersepadu Raya Bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di sini, pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan juga akan dikuatkuasakan dua hari sebelum dan dua hari selepas musim perayaan, iaitu pada 30 dan 31 Januari serta dan 3 dan 4 Februari.

Larangan itu bertujuan untuk mengelakkan risiko berlakunya sebarang nahas jalan raya akibat percampuran dan pertambahan trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan di atas jalan raya, selain mengelakkan kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh perayaan.

"Program pencegahan dan pemantauan semasa tempoh Ops dan kempen ini akan dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengurangkan risiko nahas jalan raya serta menjamin tahap keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya.

"Kementerian Kerja Raya (KKR) juga akan turut mewartakan penurunan had laju sebanyak 10km/j bagi jalan-jalan persekutuan dan jalan-jalan negeri, bagi tempoh yang sama (Jalan Persekutuan 80km/j manakala Jalan Negeri 70km/j)," jelasnya.