X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Bomba Perak tempatkan pasukan di tiga plaza tol

Azmi
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menempatkan pasukannya di tiga plaza tol utama di negeri ini, setiap hari sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, tujuh anggota bersama satu jentera itu ditempatkan di Plaza Tol Tapah, Kuala Kangsar dan Kamunting untuk memudahkan operasi menyelamat sekiranya berlaku kemalangan atau kebakaran pada musim perayaan ini.

Menurutnya, pasukan itu bertugas secara bergilir-gilir selama 24 jam bermula 24 Januari lepas sehingga 8 Februari ini sempena operasi rondaan di lebuh raya.

"Rondaan ini melibatkan laluan lebuh raya di kedua-dua arah supaya tindakan lebih efisien dan cepat dapat dilaksanakan pasukan bomba sekiranya berlaku kemalangan.

"Kita harap dengan langkah diambil ini dapat mengurangkan kemalangan khususnya yang meragut nyawa," katanya selepas mengadakan kempen keselamatan kebakaran bagi penghapusan bahaya kebakaran sempena Tahun Baharu Cina di Pasar raya TF Value Mart di Falim di sini pada Rabu.

Beliau berkata, rondaan secara berkala turut dilakukan di jalan-jalan persekutuan dan negeri antaranya laluan Gerik-Jeli, Simpang Pulai-Cameron Highlands dan Teluk Intan-Kuala Selangor.

"Pusat-pusat pelancongan yang menjadi tumpuan juga menjadi titik fokus keselamatan kita, ini termasuklah di Pulau Pangkor dan kawasan rekreasi air terjun.

Azmi memeriksaan peralatan pemasangan aspek kebombaan sempena kempen keselamatan kebakaran bagi penghapusan bahaya kebakaran sempena Tahun Baharu Cina di Pasar raya TF Value Mart di Falim di sini pada Rabu.
Azmi memeriksaan peralatan pemasangan aspek kebombaan sempena kempen keselamatan kebakaran bagi penghapusan bahaya kebakaran sempena Tahun Baharu Cina di Pasar raya TF Value Mart di Falim di sini pada Rabu.

"Selain lawatan secara berkala, anggota kita juga akan memberikan nasihat berkaitan keselamatan dalam air sebagai langkah berjaga-jaga mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, sebanyak lapan notis keselamatan kebakaran telah dikeluarkan kepada premis perniagaan di seluruh negeri hasil pemeriksaan sempena Tahun Baharu Cina, setakat ini.

Katanya, notis melibatkan pelbagai kesalahan itu dikeluarkan mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988 membabitkan 34 pemeriksaan di pasar raya dan pusat membeli-belah sejak 20 Januari lepas.

"Daripada premis yang diperiksa kita dapati berlaku pelanggaran dalam aspek pematuhan apabila ada antara sistem pemasangan keselamatan kebakaran itu tidak berfungsi dengan baik.

"Teguran telah dibuat dan kita harap langkah penambah ddilakukan setiap pemilik premis bagi mengelak tindakan lebih tegas diambil," katanya.

Beliau berkata, JBPM Perak menyasarkan pemeriksaan terhadap 140 premis menerusi pemeriksaan keselamatan kebakaran sempena perayaan Tahun Baharu Cina ini.

"Pemeriksaan ini untuk memastikan semua peralatan pemasangan aspek kebombaan berada dalam keadaan baik bagi menjamin keselamatan orang ramai ketika berkunjung," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!