Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Ringgit merosot berbanding dolar AS pada Khamis berikutan sokongan belian terhadap unit negara maju susulan keputusan Fed. - Gambar hiasan
Ringgit merosot berbanding dolar AS pada Khamis berikutan sokongan belian terhadap unit negara maju susulan keputusan Fed. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit merosot berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis berikutan sokongan belian terhadap unit negara maju susulan keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) untuk berpegang dengan kadar faedah utamanya kepada hampir sifar, walaupun katanya program pelonggaran kuantitatif akan ditamatkan mengikut jadual pada Mac, kata penganalisis.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan berkurangan 160 mata asas (bps) kepada 4.2050/2070 berbanding dolar AS daripada 4.1890/1915 sewaktu ditutup pada Rabu.

Penganalisis Pasaran Kanan OANDA, Edward Moya berkata, keputusan itu akan membuka laluan kepada Fed untuk meningkatkan kadar faedah pada Mac.

"Fed akan cuba meyakinkan pasaran yang mereka mempunyai rancangan bahawa menaikkan kadar faedah adalah memadai untuk memerangi inflasi, tetapi tidak melumpuhkan pasaran dan mewujudkan persekitaran yang kurang berisiko,” katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) telah menjadi semakin jelas dalam komunikasinya.

"Sehubungan itu, Indeks Dolar AS (DXY) menokok kepada lebih 96 mata.

"Oleh itu, kita jangka ringgit akan menjadi tidak stabil. Ia mungkin melepasi paras rintangan segera RM4.1958 dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Artikel Berkaitan:

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1150/1170 daripada 3.1152/1173 sewaktu ditutup semalam dan menokok berbanding euro kepada 4.7239/7261 daripada 4.7281/7309 pada Rabu.

Unit tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6561/6588 daripada 5.6567/6610 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.6670/6688 daripada 3.6710/6735 sebelum ini. - Bernama