Guna minyak masak paket subsidi buat minyak sembahyang

Ain Arjuna (dua dari kanan) menunjukkan minyak masak paket yang dirampas.
Ain Arjuna (dua dari kanan) menunjukkan minyak masak paket yang dirampas.
A
A
A

PORT DICKSON - Sebuah premis di Bukit Pelandok di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana disyaki melakukan penyelewengan minyak masak bersubsidi.

Operasi pada Rabu jam 12.05 tengah hari itu dilakukan pasukan penguat kuasa KPDNHEP Seremban dan Port Dickson serta polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan.

Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, ketika pemeriksaan, telah menemui 159 kotak mengandungi minyak masak paket satu kilogram dengan jumlah keseluruhan berat 2,703 kilogram.

"Minyak masak paket tersebut dipercayai dijadikan sebagai bahan asas di dalam proses penghasilan minyak sembahyang dengan dicampur bahan-bahan lain.

"Suspek dipercayai menggunakan minyak masak bersubsidi sebagai bahan asas untuk menghasilkan minyak masak sembahyang kerana harganya lebih murah berbanding dengan harga minyak masak industri demi untuk mengaut keuntungan," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Khamis.

Menurutnya, ketika diserbu seorang lelaki warga tempatan berusia 65 tahun yang bertanggungjawab terhadap premis turut ditahan untuk diambil keterangan.

Ujarnya, siasatan awal yang dijalankan mendapati suspek telah menjalankan kegiatan itu di premis terbabit sejak setahun lalu.

"Kesemua barangan berkenaan dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM 6,757.50 telah disita.

Artikel Berkaitan:

"Barangan tersebut ialah barang kawalan yang merupakan barang berjadual dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mendapatkan maklumat pihak-pihak yang terlibat di dalam rantaian yang membekalkan minyak masak paket satu kilogram kepada kegiatan terbabit.

Ain Arjuna berkata, KPDNHEP Negeri Sembilan memandang serius terhadap penyelewengan minyak masak paket satu kilogram kerana ia seharusnya dijual dan dipasarkan untuk kegunaan isi rumah.