Zii Jia kena usaha lebih kuat

Lee Zii Jia - Foto Badminton Association of Malaysia
Lee Zii Jia - Foto Badminton Association of Malaysia
A
A
A

JAGUH badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia perlu memiliki kekuatan disiplin diri yang tinggi apabila pemain berusia 23 tahun tersebut mula mengharungi cabaran sebagai pemain profesional selepas ini.

Malah menurut pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying, cabaran bergelar pemain profesional cukup tinggi kerana ia menuntut komitmen sepenuhnya atlet dalam menguruskan kariernya.

Jelas bekas gandingan Chan Peng Soon tersebut, pemain nombor tujuh dunia itu juga perlu tabah dan cekal dalam mendepani pelbagai cabaran serta segala kemungkinan yang mendatang selepas ini.

“Sebenarnya sebagai seorang pemain profesional cabaran cukup banyak malah pelbagai urusan perlu diselesaikan sendiri. Bukan mudah sebenarnya bergelar pemain profesional kerana terlalu banyak cabaran yang perlu dihadapi. Jadi Zii Jia perlu tabah berdepan semua cabaran selain menguatkan tekad bergelar pemain profesional.

“Ini kerana, sebagai pemain profesional, semua perkara kena buat sendiri bermula daripada pendaftaran, semakan tarikh kejohanan, rakan sepelatih (sparring), penginapan, jurulatih, penaja dan lain-lain semuanya perlu diuruskan sendiri.

“Semua perkara ini pernah saya lalui sebelum ini dan saya akui bahawa ia sememangnya sesuatu yang sukar dan mencabar, namun segala kepayahan tersebut akan menjadi mudah sekiranya Zii Jia memiliki ‘self discipline’ yang tinggi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Minggu lalu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan Zii Jia sudah sudah menghantar surat peletakan jawatan untuk keluar daripada badan induk berkenaan pada 11 Januari 2022.

Situasi itu menyaksikan BAM membuat keputusan tidak akan mendaftarkan Zii Jia menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa dalam tempoh dua tahun berkuatkuasa 18 Januari 2022.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun kemelut antara BAM dan Zii Jia hampir menemui titik penyelesaian, selepas kedua-dua pihak mencapai keputusan positif dalam sesi pertemuan pada Selasa, selepas pemain nombor tujuh dunia itu menghantar rayuan pada Isnin.

Sementara itu, pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia mengucapkan selamat maju jaya kepada Zii Jia dan percaya pemain tersebut mampu mengharungi cabaran sebagai pemain profesional.

“Biarpun kami berkawan baik, tetapi dulu training pun tak sama sebab untuk perseorangan training lain, beregu training lain.

“Tetapi saya tetap nak ucapkan good luck untuk Lee Zii Jia, walaupun tahu semua perkara kena urus sendiri,” katanya.