Longgar SOP kepada rakyat sebelum beri kepada pelancong asing

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar kesihatan awam menyarankan kerajaan supaya memastikan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) telah dilaksanakan sepenuhnya di dalam negara sebelum memberikan kemudahan tersebut kepada pelancong asing.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mohammad Farhan Rusli berkata, langkah itu amat penting kerana pemantauan dan kawalan terhadap kesan pelonggaran tersebut adalah lebih mudah untuk dilakukan terhadap rakyat Malaysia berbanding pelancong asing.

“Maknanya kemudahan itu semua perlu diberikan kepada rakyat kita dahulu dan kemudian baru kita boleh beri kepada individu dari luar negara. Ini kerana kalau kita berikan kelonggaran yang banyak, kita lebih senang nak kawal rakyat kita.

“Sebagai contoh, kita mungkin boleh buat kalau rakyat Malaysia pergi bercuti ke luar negara, apabila mereka balik mungkin mereka tidak perlu jalani dan sebagainya.

“Jadi kita kena mulakan dengan rakyat Malaysia dahulu supaya senang kita nak memantau. Kalau langkah itu berjaya, baru kita boleh buka untuk orang luar. Benda itu yang penting,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Dr Mohammad Farhan berkata, langkah untuk mula melaksanakan kelonggaran tersebut terhadap rakyat Malaysia terlebih dahulu juga penting bagi memastikan kelonggaran itu benar-benar selamat untuk dilaksanakan.“Kalau kita dah cuba laksanakan untuk negara Malaysia dan tidak berjaya, memang kita tidak boleh harap perkara itu akan berjaya jika dilaksanakan kepada pelancong asing,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan juga perlu memastikan supaya sistem pemantauan kesihatan negara benar-benar bersedia untuk melaksanakan pelonggaran SOP itu dengan selamat.

“Melonggarkan SOP tidak harus diinterpretasikan sebagai tidak selamat.

Artikel Berkaitan:

“Maknanya kelonggaran boleh berlaku dan kelonggaran harus dilaksanakan tetapi dengan keadaan yang lebih selamat.

“Jadi kalau kita beri kelonggaran yang lebih banyak ini, maknanya kita kena pastikan semua isu berkaitan sudah bersedia dan dalam keadaan mantap,” kata beliau.