Elak berlaku di Negeri Sembilan

Aminuddin pada sidang media, semalam.
Aminuddin pada sidang media, semalam.
A
A
A
SEREMBAN - Semua pihak dinasihatkan supaya menjaga kebersihan alam sekitar termasuk sungai untuk mengelakkan sebarang pencemaran berlaku.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setiap masyarakat mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar, agar kejadian yang berlaku di Sungai Kim Kim Pasir Gudang tidak terjadi di negeri ini.

“Apa yang berlaku di Pasir Gudang perlu dijadikan pengajaran, kerajaan negeri akan pastikan tiada pihak yang boleh melakukan pembuangan sebegitu (sisa toksik) sewenang-wenangnya dan melakukan kerosakan sehingga menyebabkan pencemaran.

“Dengan itu kita akan menjalankan penguatkuasaan yang lebih ketat, bagi mengawal keadaan ini daripada terjadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Plogging @ Ulu Bendul di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Salim Aman.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menasihatkan masyarakat agar menggunakan kemudahan di pusat rekreasi dengan baik bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Katanya, orang ramai diingatkan supaya tidak menyalahgunakan infrastruktur yang disediakan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai kejadian tiga orang awam cedera dihempap pondok wakaf yang runtuh akibat memasang buaian gantung (hammock) pada tiang wakaf berkenaan di Taman Eko Rimba Ulu Bendul pada 17 Februari lalu.

Artikel Berkaitan: