Remaja 18 tahun ketuai geng curi motosikal

A
A
A

KAMPAR - Seorang remaja dipercayai menjadi dalang utama Geng Shuren yang aktif mencuri motosikal di daerah Kampar dan Tapah sejak lima bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan remaja berusia 18 tahun bersama enam ahli kumpulannya itu tumpas selepas serbuan dilakukan berasingan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, dengan penahan tujuh suspek itu pihaknya percaya lapan kes curi motosikal termasuk satu kes di Tapah berjaya diselesaikan.

“Kira rampas motosikal yang disembunyikan di rumah salah seorang suspek, empat rangka yang dibuang di kawasan semak di Bidor dan beberapa komponen motosikal lain. Sebuah motosikal turut ditemui di tepi Jalan Kampar Putra yang belum sempat dileraikan.

“Modus operandi geng ini adalah mencuri secara berkumpulan untuk dileraikan komponennya sebelum dibuang di daerah berhampiran termasuk di kawasan semak dan lombong,” katanya pada sidang media di IPD Kampar di sini, hari ini.

Menurutnya, salah seorang suspek turut membuka sebuah bengkel motosikal di rumahnya dan motosikal dicuri bagi memenuhi permintaan pelanggan dan komponen yang dileraikan adalah untuk kegunaan sendiri selain dijual untuk mendapatkan wang perbelanjaan harian.

Artikel Berkaitan:

“Tiga suspek mempunyai rekod lampau dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan. Bagaimanapun, ujian urin mendapati kesemua suspek adalah negatif dadah,” katanya.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan sementara seorang suspek di bawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 membabitkan pamer nombor pendaftaran palsu,” katanya.