Kerajaan negeri bina tujuh rumah mangsa kebakaran

Kejadian kebakaran di Pusat Pengajian Taman Islam, Kampung Bakau Tinggi, Kemaman pada Selasa. Foto: Ihsan pembaca
Kejadian kebakaran di Pusat Pengajian Taman Islam, Kampung Bakau Tinggi, Kemaman pada Selasa. Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

KEMAMAN - Kerajaan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM420,000 bagi membina semula tujuh rumah untuk mangsa kebakaran di Taman Islam Kampung Bakau Tinggi di sini,

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tersebut bernilai RM60,000 setiap sebuah dan akan dibina mulai Mac depan.

"Pembinaan projek rumah PPRT ini dijangka mengambil masa dua bulan dan tujuh keluarga ini dijangka dapat mendiami rumah baharu menjelang Aidilfitri nanti. Sumbangan awal sebanyak RM2,000 juga telah diserahkan untuk setiap ketua keluarga," katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.

Pada Selasa, tujuh rumah di Taman Islam Kampung Bakau Tinggi musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira 7.40 pagi menyebabkan 32 penghuninya hilang tempat tinggal, namun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Dalam pada itu, Hanafiah berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menguruskan tempat tinggal sementara selain menyediakan makanan untuk keluarga terbabit.

"Saya juga telah mengarahkan JKM Kemaman untuk menyediakan kertas laporan untuk diangkat kepada Tabung Darul Iman (TDI) untuk kita lihat bantuan lain yang boleh disalurkan mengikut kesesuaian dan keperluan mangsa," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: