Sila log masuk terlebih dahulu.

Dua ditahan kemuka dokumen palsu libat tender RM1.2 juta

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan dua individu termasuk seorang kontraktor mengemukakan dokumen palsu untuk mendapatkan tender bernilai RM1.2 juta membawa padah apabila ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu.

Dua suspek lelaki dan wanita masing-masing berusia 41 dan 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 pagi selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah, di sini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu untuk memasuki tender membekal dan menghantar bahan makanan kepada sebuah hospital daerah di negeri ini untuk tempoh dua tahun pada 2017.

Difahamkan juga bahawa kontrak itu dianggarkan bernilai kira-kira RM1.2 juta.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy mengesahkan tangkapan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

"Kedua-dua suspek akan dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas selesai memberi keterangan," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Sebelum itu, beliau turut mengingatkan kontraktor yang memasuki mana-mana kontrak kerajaan supaya tidak mengemukakan penyata kewangan palsu kerana ia adalah salah di sisi undang-undang.

Artikel Berkaitan: