X

Kindly register in order to view this article
!

Itali siasat kematian saksi skandal seks Berlusconi

Pada 2012, bekas model itu mendedahkan kepada umum tentang aktiviti liar Berlusconi.
A
A

ROM - ITALI. Pihak berkuasa Itali menyiasat kematian seorang bekas model dan saksi penting perbicaraan kes skandal seks bekas perdana menteri Silvio Berlusconi.

Sebuah akhbar tempatan melaporkan kemungkinan mangsa Imane Fadil diracun dengan bahan radioaktif.

Pendakwa raya Milan Francesco Greco berkata siasatan telah dibuka susulan kematian bekas model kelahiran Maghribi itu pada 11 Mac lalu di sebuah hospital di bandar itu.

Wanita berusia 33 tahun itu mendapatkan rawatan di hospital pada 29 Januari selepas mengadu mengalami sakit perut.

Imane merupakan antara saksi yang memberi keterangan pada perbicaraan Berlusconi yang didakwa melakukan hubungan seks dengan pelacur bawah umur.

Menurut laporan akhbar Corriere della Sera, pihak hospital menjalankan ujian bagi mencari punca sebenar sakit yang dialami Imane tetapi gagal menemukan sebarang jawapan.

Kemudian ujian lanjut dijalankan di sebuah makmal khas di Pavia dan keputusan pada 6 Mac mendapati kesan bahan radioaktif pada badan mangsa.

Peguam Imane, Paolo Sevesi berkata beliau pernah diberitahu mangsa tentang kebimbangan diracun.

Pada 2012, bekas model itu mendedahkan kepada umum tentang aktiviti liar Berlusconi yang turut berdepan tuduhan menyogok saksi untuk memalsukan keterangan di mahkamah. - AFP