MOF yakin Kastam mampu capai sasaran kutipan Program VA


Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan (MOF) yakin Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mampu mencapai sasaran kutipan sebanyak RM1 billion sehingga RM2 billion bagi Program VA yang bermula awal tahun ini hingga 30 Sept, 2022.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, JKDM telah diberi mandat bagi melaksanakan Program VA (Program Pengakuan Sukarela dan Pengampunan Cukai Tidak Langsung) yang juga antara usaha kerajaan dalam melakukan pembaharuan percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela dan melaporkan cukai sewajarnya.

"JKDM telah memainkan peranan sebagai salah satu agensi penting yang menggerakkan dasar dan inisiatif kerajaan. Sebagai contoh, jabatan itu telah memberi sumbangan besar dalam merealisasikan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

"Ini termasuk pemberian peringanan penalti, pengecualian cukai jualan, cukai perkhidmatan, cukai pelancongan dan duti eksport,” katanya ketika berucap pada majlis Hari Kastam Sedunia kali ke-40 di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Acara tersebut telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, Tengku Zafrul turut menyuarakan keyakinannya terhadap keupayaan JKDM untuk meningkatkan lagi kutipan dan duti import lain jika dilihat dari sudut pungutan hasil.

"Saya faham ada cabaran dari segi pemindahan penghantaran atau ‘transshipment’ yang tidak dikenakan bayaran serta pengecualian duti import susulan perjanjian perdagangan bebas (FTA).

"Namun, saya yakin JKDM mampu mencapai sasaran lebih baik terutama apabila negara terus mencatatkan jumlah perdangangan yang telah melonjak melebihi RM2 trilion bagi tempoh 11 bulan pertama 2021,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dari keseluruhan nilai tersebut, sebanyak RM1.1 trilion adalah eksport manakala import berjumlah RM894 bilion dan angka tersebut dijangka meningkat berikutan pemulihan keadaan ekonomi dunia dan negara pada tahun ini.

Tengku Zafrul juga optimis bahawa sasaran lebih tinggi mampu dicapai dengan memanfaatkan penggunaan aset-aset fizikal tambahan JKDM seperti mesin pengimbas lebih moden selain penggunaan bot ronda laju.

Dalam pada itu, beliau berkata, MOF dan agensi-agensinya perlu mengutamakan aspek budaya dan pemikiran lebih inovatif bagi melahirkan modal insan yang mampu beroperasi secara strategik dan sistematik.

Transformasi modal insan itu perlu dilaksanakan bersama inisiatif penggunaan teknologi yang diperluaskan dalam memastikan pengawalseliaan yang lebih baik dan menyumbang kepada pencapaian lebih banyak kejayaan oleh agensi-agensi penting kementerian itu seperti JKDM, katanya.

"Di samping itu, jentera pentadbiran JKDM yang digerakkan juga telah berjaya memungut hasil melebihi unjuran bagi tahun 2021. Tidak dinafikan, usaha dan kejayaan ini mencerminkan peranan signifikan jabatan itu selaku agensi pemungut cukai tidak langsung, sekali gus menjadi antara penyumbang hasil terbesar buat negara,” katanya yang berharap momentum tersebut dapat terus dipertingkat pada tahun ini.

Selain itu, Tengku Zafrul juga menegaskan bahawa usaha-usaha kerajaan merupakan manifestasi keprihatinan dan usaha murni bagi membantu golongan dan sektor yang terjejas dengan merangka pertumbuhan ekonomi yang berpaksikan rakyat.

"Kerajaan telah melaksanakan sebanyak lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion serta Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion dan Bajet 2022 berjumlah RM332.1 bilion,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh warga MOF di atas pengiktirafan Adam Smith Awards ASIA 2021 yang menyaksikan kementerian itu dinobatkan sebagai Penyelesaian Pendanaan Terbaik (Best Funding Solution) pada 28 April 2021 selain disenaraikan antara lima kementerian yang paling cemerlang. - Bernama