Peruntukan RM490,000 kepada usahawan agromakanan terjejas banjir: MB

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan menyalurkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM490,000 kepada 490 usahawan agromakanan di negeri itu yang terjejas susulan bencana banjir baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan bernilai RM1,000 setiap seorang itu akan diagihkan serta-merta sebaik senarai nama diperoleh sekali gus dapat meringankan beban mangsa yang disalurkan melalui Jabatan Perikanan, Jabatan Veterinar dan Jabatan Pertanian daerah masing-masing.

"Kita memahami kesusahan dialami mangsa banjir, bukan sahaja rumah rosak atau malah hasil penternakan atau tanaman mereka turut alami kerugian besar.

"Bantuan ini bukan sebagai bentuk ganti rugi tetapi rasa keprihatinan kerajaan negeri kepada usahawan kecil ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Mengakui sektor agromakanan di Negeri Sembilan terjejas dengan kerugian RM22.5 juta susulan banjir, beliau bagaimanapun berharap sektor itu mampu bangkit semula dengan segera termasuk melalui dana kerajaan negeri dan Persekutuan kepada usahawan terlibat.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri juga akan mengecualikan bayaran fi bagi pengeluaran salinan surat perakuan nikah, cerai dan rujuk Negeri Sembilan bagi pasangan yang terjejas banjir dengan permohonan diterima sehingga 31 Mac ini.

Selain itu, beliau berkata, pengecualian 100 peratus denda lewat cukai petak bagi 2021 juga akan diberikan melibatkan 23,236 hak milik yang masih belum menjelaskan cukai petak berjumlah RM117,241.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 5,671 ketua isi rumah di negeri ini yang terkesan banjir setakat ini telah menerima Bantuan Wang Ihsan membabitkan empat fasa dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM5.67 juta.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya akan memohon kerajaan Persekutuan untuk membina tempat letak kereta yang bersesuaian di Jalan Temiang-Pantai di sini bagi mengelakkan kesesakan memandangkan lokasi itu kini menjadi tarikan orang ramai.

Jelasnya, pembinaan jalan raya bernilai lebih RM181 juta itu mula dibuka sejak 26 Ogos tahun lepas membabitkan empat lorong dua hala sepanjang 1.60 kilometer (km) dan dua lorong dua hala sepanjang 5.84km dengan tiga jambatan. - Bernama