'Pendidikan gagal kerana kerajaan gagal mentadbir'

Dr Maszlee Malik - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI
Dr Maszlee Malik - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mendakwa masalah besar pendidikan yang dihadapi di negara ini adalah kerana kegagalan kerajaan untuk mentadbir dengan baik.

Menurutnya, banyak kepincangan dalam sistem pendidikan sehingga kini masih gagal diselesaikan kerana kegagalan kerajaan mengenal pasti isu utama pendidikan negara.

Malah, beliau turut menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya melantik menteri pendidikan baharu sebagai langkah perlu untuk memacu pendidikan ke arah yang lebih baik.

"Kita akan terus bercakap mengenai masalah seperti infrastruktur dan pendidikan yang lemah untuk satu tempoh yang lama. Jika tahap integriti di negara kita masih di takuk ini dan kita masih lagi dipenuhi dengan 'kabinet buncit' dengan golongan-golongan yang tidak menghayati mengenai aspirasi dan ke mana misi pendidikan negara ini.

"Saya melihat isu dan masalah pendidikan ini, bukan setakat 20 tahun malah 30 tahun lagi pun kita akan terus berbicara mengenai perkara ini kerana masalah ini kita telah warisi sejak 60 tahun lalu," katanya dalam satu program wawancara yang dihoskan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Dalam program tersebut, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkongsi pandangan mengenai sistem pendidikan negara dan buku 'Memori Bukan Memoir: 20 Bulan Reformasi Pendidikan'.

Mengulas lanjut, beliau melihat masalah pendidikan di negara ini adalah keengganan untuk melakukan perubahan penstrukturan.

Beliau menjelaskan, perkara itu cuba diubahnya ketika menjadi Menteri Pendidikan, namun tempoh 20 bulan yang diberikan kepadanya tidak cukup untuk merealisasikan misi tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Perubahan penstrukturan ini memerlukan pemahaman. Sebab itu, saya mengambil tempoh untuk pelaksanaan Model Pendidikan Baharu pada 2021. Kita rancang pada 2018 dengan segala input dan usaha memberi pemahaman kepada pelaksana dasar selain memenangi hati guru.

"Dalam masa sama, kita kekalkan blueprint (pelan pembangunan pendidikan Malaysia 2013-2025) pendidikan yang ada sehingga 2025, tetapi kita perbaiki. Sebab itu, kita muncul dengan hasil daripada libat urus seluruh rakyat yang terlibat laporan jawatankuasa kajian dasar itu untuk dilakukan pada 2021.

"Pada 2021 adalah untuk memangkinkan blueprint sehingga 2025. Maknanya kita nak singkatkan masa 2025 itu ke 2021. Apabila berlaku pandemik, tempoh senggang itu seharusnya digunakan membuat lonjakan tersebut. Tetapi, malangnya peluang itu tidak diambil sebaiknya oleh mereka yang berkuasa dan mentadbir Kementerian Pendidikan pada hari ini," katanya.