CPI 2021: Kerajaan perlu tegas tingkatkan kembali kedudukan Malaysia

Gambar kecil: Jufitri Joha
Gambar kecil: Jufitri Joha
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan tegas dan teratur dalam usaha untuk meningkatkan kembali kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI).

Presiden MBM, Jufitri Joha berkata, selain itu kerajaan juga perlu mengambil langkah serius terhadap cadangan penambahbaikan oleh Transparency International (TI) Malaysia bagi membantu negara menangani isu rasuah.

“Kerajaan perlu merangka strategi yang betul dan teratur bagi memastikan imej Malaysia dapat dipertingkatkan kembali.

“Selain itu, MBM juga bersetuju dengan pendapat yang mencadangkan agar Ketua Setiausaha (KSU) diberikan mandat yang penuh untuk mengambil tindakan dan keputusan berkaitan perlakuan rasuah di kementerian.

“Namun, pemantauan juga perlu dilakukan beberapa pihak bagi memastikan keputusan dan tindakan yang diambil adalah adil serta tidak dilihat berat sebelah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 telah merosot lima anak tangga ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga 57 pada 2020 manakala skor yang direkodkan juga merosot kepada 48 daripada 100 berbanding 51 yang direkodkan pada 2020.

Pada masa sama, Jufitri turut mengulangi cadangan pihaknya agar jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi menyiasat kes membabitkan Ketua Pesuruhjaya (KP), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Katanya, langkah itu perlu dilaksanakan segera bagi membersihkan imej Azam dan SPRM sendiri seterusnya menangani persepsi masyarakat awam terhadap agensi tersebut yang semakin terhakis.

Artikel Berkaitan:

“Perkara ini juga bakal menyumbang kepada kemeruduman kedudukan Malaysia dalam CPI pada tahun ini. MBM juga tidak mahu anak muda terus memprotes akan isu ini di jalanan dan ia mesti diselesaikan segera melalui jawatankuasa bebas ini,” ujarnya yang merupakan Pengerusi Sekretariat Belia Rasuah Busters.

Mengulas lanjut, Jufitri berkata, antara punca yang menyebabkan kedudukan CPI negara semakin merudum adalah disebabkan keadaan institusi kerajaan yang tidak stabil.

Beliau berkata, susulan daripada itu, terdapat ahli politik negara dilihat telah menyalahgunakan kuasa serta melompat parti bagi tujuan tertentu sehingga membawa kepada satu budaya politik tidak sihat.

“Dapat dilihat bahawa faktor ini menjadi punca utama CPI negara Malaysia semakin menurun.

“Ditambah dengan pemain politik mengambil peluang dan ruang ini untuk terus bermain politik bagi mengekalkan kedudukan dan pangkat. Disebabkan itu, sudah pasti kegiatan rasuah berlaku dan tentu ia akan melibatkan lebih banyak golongan serta institusi,” ujarnya.