Sila log masuk terlebih dahulu.

CEO syarikat didakwa beri suapan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat penyediaan perkhidmatan kandungan komunikasi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas 26 pertuduhan memberi suapan berjumlah RM85,000 kepada seorang kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi, lapan tahun lepas.

Lim Eng Hoong, 46, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-26, Eng Hoong didakwa secara rasuah memberikan suapan wang berjumlah RM85,000 kepada seorang lelaki yang juga kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi melalui akaun bank atas nama seorang wanita.

Wang rasuah itu adalah sebagai upah kepada kakitangan syarikat telekomunikasi berkenaan kerana memberikan maklumat aduan pelanggan syarikat telekomunikasi itu kepada syarikat milik tertuduh iaitu daripada portal sistem perkhidmatan syarikat telekomunikasi tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di HSBC Amanah Cawangan Wangsa Maju di sini, antara 3 Disember 2014 hingga 1 September 2016, yang didakwa mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang membawa kepada hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abdul Rahman Sidik menawarkan jaminan sebanyak RM40,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran dan tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan.

Peguam. Emily Shir Lay yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya menanggung isteri serta tiga anak dan sejak pandemik dua tahun lepas syarikatnya tidak dapat menjana pendapatan sehingga tertuduh terpaksa menjual dua kereta miliknya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan syarat-syarat tambahan seperti yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan selain menetapkan 23 Februari ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: