Sheikh Jarrah jadi saksi kezaliman zionis

Kumpulan protes menuntut komuniti antarabangsa menyelamatkan Sheikh Jarrah. (Gambar kecil: Profesor Mohd Nazari Ismail)
Kumpulan protes menuntut komuniti antarabangsa menyelamatkan Sheikh Jarrah. (Gambar kecil: Profesor Mohd Nazari Ismail)
A
A
A

SEMENJAK bulan Mei tahun lalu nama ‘Sheikh Jarrah’ seringkali disebut di dalam berita kezaliman di Palestin oleh rejim aparteid Israel.

Nama tersebut bukanlah merujuk kepada individu tertentu, namun ia adalah merujuk kepada suatu kawasan di mana ramai warga Palestin mendiaminya.

Keadaan yang menimpa mereka kini adalah lebih membimbangkan dan amat menyedihkan kerana rejim Zionis Israel sekarang sedang aktif merampas tanah-tanah mereka, merobohkan rumah-rumah mereka dan menghalau mereka keluar dari kawasan tersebut.

Untuk memahami keadaan yang berlaku sekarang, kita perlu mengkaji semula sejarah awal Palestin pada kurun ke-19. Pada masa itu, Palestin adalah di bawah kawalan kerajaan Khilafah Othmaniyah.

Pada masa yang sama, orang-orang Yahudi di Eropah pula sedang ditekan oleh masyarakat Kristian Eropah. Akibatnya, sebahagian daripada mereka telah memutuskan untuk berhijrah ke tempat lain di mana orang-orang Yahudi boleh tinggal dengan aman, selamat dan tidak dianiaya oleh mana-mana pihak.

Kumpulan ini telah menggelarkan diri mereka sebagai Zionis, dan mereka telah memutuskan untuk berhijrah ke Palestin kerana kaitan sejarah tempat tersebut dan bangsa Yahudi. Namun, tempat tersebut juga telah diduduki oleh warga Palestin semenjak ribuan tahun.

Oleh kerana itu, kumpulan Zionis tersebut telah membuat keputusan untuk menghalau pribumi Palestin keluar dari bumi Palestin dan menggantikannya dengan orang-orang Yahudi yang akan dijemput dari seluruh dunia untuk berpindah ke sana.

Dalam kata lain, ia adalah satu projek penjajahan dan penempatan yang akan dijayakan dengan melakukan langkah pembersihan etnik.

Artikel Berkaitan:

Rancangan mereka telah disokong oleh kerajaan British yang telah berjaya mengambil alih kuasa ke atas Palestin setelah jatuhnya Khilafah Othmaniyah pada tahun 1925.

Namun, usaha golongan Zionis dan juga British untuk menjajah tanah Palestin telah ditentang oleh warga Arab Palestin. Ramai yang telah terkorban dalam perjuangan tersebut termasuk Sheikh Izuddin Al Qassam, seorang ulamak Palestin yang terkenal.

Malangnya usaha penduduk Palestin untuk menyekat rampasan tanah mereka oleh puak Zionis gagal kerana pihak Zionis bukan sahaja mempunyai senjata yang lebih banyak dan canggih bahkan juga lebih bertindak ganas.

Pada penghujung tahun 1940-an, sebahagian besar wilayah Palestin telah jatuh ke tangan puak Zionis. Pada tahun 1948 susulan daripada langkah pembunuhan beramai warga Palestin di beberapa wilayah, golongan Zionis telah merampas lebih banyak tanah Palestin dan mengisytiharkan negara baru mereka iaitu Israel.

Akibatnya, lebih kurang 750,000 rakyat Palestin telah menjadi pelarian ke negara Arab lain dan Gaza sementara beberapa keluarga telah dihalau dari rumah mereka di Baitulmaqdis Barat dan terpaksa berpindah ke kawasan kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur yang pada masa itu di bawah kawalan kerajaan Jordan.

Langkah tersebut telah dipersetujui oleh United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees (UNRWA), dan mereka dijanjikan hak mutlak ke atas kediaman mereka di Sheikh Jarrah dan tidak lagi menjadi pelarian. Malangnya kerajaan Jordan gagal melaksanakan perjanjian tersebut.

Pada tahun 1967, telah berlaku satu lagi peperangan di antara negeri-negeri Arab dan Israel. Di dalam peperangan tersebut, Israel berjaya merampas kesemua kawasan di tebing barat yang sebelum itu di bawah kawalan kerajaan Jordan termasuk Baitulmaqdis Timur dan juga kawasan kejiranan Sheikh Jarrah.

Berdasarkan rekod pada tahun 2016, jumlah penduduk Palestin di Sheikh Jarrah telah berkembang dan terdapat 327,000 orang Palestin yang mendiami kawasan tersebut.

Mengikut undang-undang antarabangsa, Israel sepatutnya berundur dari Tebing Barat dan juga Baitul Maqdis Timur. Namun Israel enggan berbuat demikian kerana rancangan sebenar mereka adalah untuk merampas kesemua tanah di Tebing Barat.

Malahan kerajaan Israel juga telah membenarkan ratusan penempatan baru Yahudi dibangunkan di Tebing Barat dan membantu dalam pemindahan ribuan rakyat Yahudi ke sana termasuk ke kawasan kejiranan Sheikh Jarrah dengan alasan kesemua kawasan tersebut adalah hak milik orang Yahudi sejak ribuan tahun yang lalu berdasarkan ajaran di dalam kitab-kitab mereka.

Pada tahun 1970, kerajaan Israel telah meluluskan undang-undang yang membenarkan secara rasmi orang berbangsa Yahudi di Israel untuk mengambil alih tanah dan rumah di Baitulmaqdis Timur jika terbukti hartanah tersebut pernah dimiliki oleh orang Yahudi yang terpaksa berpindah akibat perang pada tahun 1948.

Namun hak yang sama tidak diberikan kepada warga Palestin yang juga terpaksa berpindah akibat peperangan yang sama. Jelas undang-undang tersebut adalah berat sebelah.

Orang Yahudi Israel telah merebut peluang ini bermula pada tahun 1972 untuk menuntut hakmilik ke atas hartanah di Baitulmaqdis Timur dan tuntutan tersebut disokong oleh kerajaan Israel.

Pada masa ini golongan Zionis, dengan bantuan kerajaan Israel semakin giat merampas rumah-rumah milik warga Palestin di kawasan Sheikh Jarrah dan memaksa mereka keluar.

Baru-baru ini iaitu pada 23 Januari 2022, tentera Israel telah memasuki sebuah rumah yang didiami oleh keluarga Palestin dan menahan mereka kerana enggan berpindah. Rumah tersebut juga telah dirobohkan dengan serta merta untuk menghalang keluarga berkenaan daripada kembali ke kediaman mereka.

Kini, nasib yang sama sedang menanti ratusan keluarga Palestin lain di Sheikh Jarrah, Silwan dan beberapa kawasan lain di Tebing Barat jika masyarakat dunia tidak melakukan sesuatu untuk membantu warga Palestin dan menyekat kezaliman yang sedang dilakukan terhadap mereka oleh rejim Zionis Israel.

Hakikatnya ialah rejim Zionis Israel telah merancang dari sejak sebelum penubuhan negara haram Israel lagi untuk merampas kesemua wilayah Palestin termasuk Tebing Barat dan Gaza.

Mereka tidak akan berhenti daripada usaha tersebut sehingga rancangan mereka berjaya. Namun malang bagi mereka kerana semangat warga Palestin untuk mempertahankan hak mereka dan membebaskan negara mereka daripada penjajahan Zionis masih tidak luntur walaupun ribuan daripada mereka telah terkorban dan ribuan yang lain sedang dipenjarakan.

Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk membantu mereka yang dizalimi atas dasar kemanusiaan.Profesor Mohd Nazari Ismail merupakan pensyarah di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya