UMNO Perak belum putuskan jumlah jentera ke Johor

Saarani
Saarani
A
A
A

BATU GAJAH - UMNO Perak belum membuat sebarang keputusan mengenai jumlah jentera yang akan dihantar ke Johor bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) itu tidak lama lagi.

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sehingga kini UMNO Perak belum mendapat sebarang arahan rasmi daripada UMNO pusat berhubung penugasan jentera pada PRN tersebut.

Menurutnya, jumlah kekuatan jentera kempen disediakan UMNO Perak akan bergantung kepada tugasan yang akan diberikan.

"Saya belum lagi mendapat tugasan secara rasmi. Macam di Melaka dulu kita diarah jaga dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), tak tahulah di Johor ini berapa.

"Jadi, kita punya kekuatan jentera bergantung kepada berapa DUN yang kita perlu jaga," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Projek Silverlakes Brand Village di Tapak Pembangunan Spanish Gardens by the Water di sini pada Rabu.

Pada PRN Melaka yang berlangsung pada November tahun lalu, jentera UMNO Perak ditugaskan untuk membantu di kawasan DUN Paya Rumput dan DUN Sungai Udang.

DUN Paya Rumput dimenangi BN menerusi wakilnya, Datuk Rais Yasin manakala di DUN Sungai Udang, BN tewas kepada wakil Perikatan Nasional, Dr Mohd Aleef Yusof.

Pada 22 Januari, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, menghadap Sultan Johor bagi memaklum sembah hasrat kerajaan negeri mengadakan PRN, di Istana Bukit Serene, di sini, pada jam 5 petang Sabtu.

Satu pilihan raya akan diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN bagi membolehkan sebuah kerajaan baharu dibentuk.