X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Kejayaan Maghribi ke suku akhir pencapaian membanggakan

Pemain Maghribi meraikan kemenangan berkenaan.
A
A

PENGENDALI Maghribi, Vahid Halilhodzic menyifatkan kemenangan 2-1 skuad kendaliannya itu atas Malawi sebagai satu pencapaian yang cukup membanggakan pada Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika 2022.

Menurut Halilhodzic, kemenangan itu juga telah membuktikan bahawa skuad The Atlas Lions itu antara pasukan perlu diberikan perhatian pada edisi kali ini.

“Kami telah berjaya melepasi saingan kalah mati dan kami bakal beraksi di suku akhir. Ini membuktikan bahawa pasukan ini tidak boleh dipandang mudah oleh mana-mana pasukan.

“Kini kami bersedia dan semakin bersemangat untuk meneruskan aksi di suku akhir dan memberikan yang terbaik untuk mara lebih jauh kali ini,” katanya.

Pada aksi kalah mati di Stadium Ahmadou Ahidjo itu, Malawi lebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila membuka jaringan menerusi Gabadinho Mhango pada minit ke-7.

Bagaimanapun, gol berkenaan tidak melemahkan semangat pemain Maghribi yang dilihat mula bangkit mengatur asakan ke gawang Malawi bagi menyamakan kedudukan dan usaha itu nyata berhasil apabila Youssef En-Nesyri menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-45 sebelum Achraf Hakimi menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangna pasukan pada minit ke-70.

Sementara itu, Halilhodzic turut bangga dengan semangat melawan ditunjukkan kesebelasan Maghribi pada perlawanan berkenaan.

Katanya, biarpun ketinggalan 0-1 pada awal permainan, namun kesebelasan pemain dilihat tidak mudah patah semangat dan terus mengasak hingga berjaya menjaringkan dua gol bagi memastikan kemenangan pasukan.

“Pemain kami ternyata tidak mudah mengalah dan ini terbukti menerusi gaya permainan yang dipamerkan.

“Lagi pun, saya sentiasa yakin dengan mereka dan akhirnya kepercayaan yang saya berikan telah dibalas dengan kemenangan,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!