Sila log masuk terlebih dahulu.

142 kawasan di Petaling, Klang alami gangguan bekalan air

Sebanyak 142 kawasan di Petaling dan Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan insiden paip pecah di Seksyen 15, Shah Alam pada Rabu.
Sebanyak 142 kawasan di Petaling dan Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan insiden paip pecah di Seksyen 15, Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 142 kawasan di Petaling dan Klang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan insiden paip pecah di Seksyen 15 di sini pada Rabu.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, insiden itu berpunca daripada kerja-kerja pembangunan jalan berdekatan Lebuhraya Persekutuan oleh pihak ketiga pada Selasa.

Menurutnya, kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah tersebut akan bermula jam 3 petang pada Rabu.

"Kerja-kerja pembaikan ini dijangka siap sepenuhnya pada jam 3 pagi, Khamis. Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna setelah kerja pembaikan siap dilaksanakan.

" Tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Antara lokasi terjejas bagi daerah Petaling ialah Bandar Kinrara, Bandar Puchong Jaya, Glenmarie, Hicom Glenmarie, Hyatt Saujana, Jalan Puchong Batu 7 hingga Batu 13, Jalan Subang Airport dan Kampung Bohol.

Bagi daerah Klang antaranya Bandar Putera 2, Bandar Puteri, Jalan Datuk Hamzah, Jalan Istana, Jalan Kota, Jalan Kota Raja, Jalan Padang, Jalan Raja Lumu, Jalan Raya Barat, Jalan Raya Timur, Jalan Stesen & Solok Besar, Jalan Tengku Badar, Jalan Tengku Diauddin dan Jalan Tengku Kelana serta Kampung Jawa.

Elina berkata, bantuan alternatif melalui lori-lori tangki akan digerakkan ke kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal.

Artikel Berkaitan:

"Air Selangor ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.

" Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa," katanya.

Katanya, pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di www.airselangor.com.