Tiada hati perut, lelaki tendang gelandangan wajar dihukum

Tular rakaman video yang memaparkan seorang gelandangan ditendang di bahagian perut oleh seorang lelaki, dipercayai ketika operasi pembersihan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang pada 14 Januari lalu.
Tular rakaman video yang memaparkan seorang gelandangan ditendang di bahagian perut oleh seorang lelaki, dipercayai ketika operasi pembersihan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang pada 14 Januari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan undang-undang harus dikenakan terhadap individu yang bertindak menendang seorang gelandangan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 14 Januari lalu.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, beliau kesal dengan perbuatan biadab itu dan mengharapkan tindakan diambil terhadap pelaku tersebut supaya perkara sebegitu tidak berulang pada masa hadapan.

Katanya, selagi tidak dibanteras, selagi itulah nilai Rukun Negara kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan akan tercalar akibat wujudnya golongan yang biadab kepada gelandangan.

"Bagaimana tergamaknya seseorang melayan manusia yang tiada harta dan keseorangan, yang mencari kotak mungkin untuk dijadikan alas tempat perbaringan menerima nasib sedemikian rupa.

"Golongan yang sepatutnya disantuni dengan sopan dan perlukan simpati dan perhatian orang ramai tidak sewajarnya diperlakukan sedemikian rupa. Perbuatan menendang atau mengasari mereka harus dikutuk sekeras-kerasnya.

"Pelaku sebegini wajar dikategorikan sebagai tidak berperikemanusiaan dan tak berhati perut. Mereka harus segera dijejaki oleh pihak berkuasa dan diberkas segera untuk diberikan hukuman setimpal," katanya dalam satu kenyataan pada malam Selasa.

Sabtu lalu, tular rakaman video berdurasi 30 saat di laman sosial yang memaparkan seorang gelandangan ditendang di bahagian perut oleh seorang lelaki, dipercayai ketika operasi pembersihan dijalankan pada 14 Januari lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan dan tindakan akan diambil jika individu tersebut adalah kakitangan DBKL.

Artikel Berkaitan:

Turut berada di lokasi dipercayai pekerja pembersihan Alam Flora.

Bagaimanapun, sumber daripada Alam Flora memaklumkan individu tersebut bukan kakitangannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya memberitahu telah memulakan siasatan dan sedang memburu individu melakukan perbuatan tersebut.